
Perjalanan seorang lagi finalis Dewi Remaja 2025 berakhir apabila peserta berasal dari Sabah, Sharmaine Alexander, diumumkan tersingkir pada episod separuh akhir program berprestij itu, baru-baru ini.
Sharmaine, yang sejak awal menarik perhatian juri serta warganet kerana personaliti ceria dan kandungan media sosial yang menghiburkan, menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.
Meskipun penampilannya terhenti di peringkat penting itu, beliau tetap menzahirkan rasa syukur kerana mampu bertahan sehingga ke kelompok 12 terbaik.
“Rasa sedih itu tak seberapa sebab saya sudah buat yang terbaik. Untuk berada pada kedudukan ini sudah cukup jauh bagi saya, jadi top 12 dah cukup jauh bagi saya.
“Tapi peringkat semi-final tu, saya pun tak sangka saya boleh sampai sejauh itu. Saya sebenarnya sangat penat, penat kerana sudah melakukan yang terbaik,” ujarnya kepada Media Hiburan.
Pemilik ijazah Sarjana Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA itu turut berdepan pelbagai kecaman sepanjang pertandingan berlangsung.
Ada segelintir pengguna media sosial mempertikaikan prestasinya, namun Sharmaine memilih untuk tidak melayan kata-kata negatif berkenaan.
“Sebenarnya terpulang bagaimana kita beri reaksi. Apa pun yang orang cakap tentang kita, kalau kita absorb negatively perkara itu akan buat kita down. Kalau kita absorb positively dia akan buat kita naik.
“Kalau saya, saya serap semuanya secara positif sahaja. Bagi saya kalau ada yang beri komen penuh kebencian, bermakna semua orang nampak saya dan saya berada di bawah spotlight
.“Bagaimana saya tangani isu ini, saya gelakkan sahaja apabila baca komen negatif. Apa yang mereka cakap tu, mereka tak tahu perkara sebenar dan ada juga yang hanyalah andaian semata-mata.
“Jadi kalau kita nak dengar semua yang negatif ia akan buat kita rasa sedih,” jelasnya.
Mengulas mengenai perancangan selepas penyertaannya berakhir, Sharmaine berkata beliau kini ingin memberi tumpuan kepada kerjaya hiburan selepas menamatkan latihan dalam kamar (chambering).
“Apa-apa peluang saya akan ambil. Tidak kiralah drama ke, filem pendek ke, apa-apa sahaja saya akan ambil untuk belajar lebih lagi,” katanya.
Sementara itu, selain Sharmaine, seorang lagi peserta, Elisa Chew dari Pulau Pinang, turut diumumkan tersingkir pada pusingan separuh akhir.
Dengan penyingkiran tersebut, enam peserta berjaya mara ke peringkat akhir iaitu Ariana, Nelysa K, Ara Marisa, Dheper Teh, Nylea dan Suhaila. Episod Akhir Dewi Remaja 2025 dijadualkan bersiaran pada 28 November 2025, jam 10 malam di Astro Ria.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan
@mediahiburanofficial #MHnews ♬ original sound – Media Hiburan