
Usahawan yang juga ibu kepada personaliti sensasi Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Rozita Ibrahim, sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila berkongsi tindakannya yang membeli dua ekor anak anjing baka K9 jenis German Shepherd, baru-baru ini.
Menurut Rozita, anjing tersebut diambil khas untuk menjaga ladang miliknya yang terletak di kawasan hutan demi tujuan keselamatan.
Rozita memaklumkan, walaupun dia pada awal agak takut dan tidak berani mendekati anjing-anjing tersebut, namun nekad untuk memelihara kerana kelebihan luar biasa baka ini dalam aspek keselamatan.
“Saya takut. Tak berani pegang. Cuma berani dekat-dekat sahaja. K9 nama popularnya. Ia masih anak anjing baka German Shepherd berusia lapan minggu.
“Kami beli dua ekor. K9 ini digambarkan di seluruh dunia sebagai anjing cerdik. Bukan sekadar anjing, ia adalah lambang keberanian yang tidak boleh digugat.
“Besar bagai serigala. Penyayang dan penjaga yang baik. Ini anjing yang digunakan oleh polis dan FRU dalam tujuan siasatan dadah,” tulisnya.
Rozita berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya.
“Anjing yang saya beli ini ada sijil keturunannya. Jika ada orang nak curi, dalam badan anjing ini ada mikrocip. Saya minta orang asli yang jagakan.
“Saya pelihara anjing ini untuk tujuan keselamatan dan ladang yang luas di puncak hutan,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Rozita turut menjelaskan, segala proses penjagaan akan dilakukan dengan penuh teliti dan mengikut garis panduan yang selaras dengan tuntutan agama.
“Saya bukan nak buat gomol-gomol macam orang Inggeris. Cara samak juga kena tahu. Kena ambil lesen anjing K9 German Shepherd.
“Selepas menguruskan K9 dalam dua jam setiap hari, suami saya akan mandi air tanah dan sertu,” kongsinya lagi.
Rozita menambah, lesen khas juga telah diperoleh untuk memelihara anjing-anjing tersebut secara sah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Sumber & Kredit Foto: Instagram Bonda Rozita