Categories: Berita Hiburan

“Saya Bukan Budak-Budak…,” – Beego Nafi Berfoya-Foya Di Kelab Malam, Hanya Hadiri Majlis Hari Jadi

Share

Pelakon Beego menafikan dakwaan dirinya berfoya-foya di sebuah kelab malam ketika proses perceraian dengan isterinya, pelakon Linda Hashim, masih berlangsung.

Menurut Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, video tular tersebut sebenarnya dirakam ketika dia menghadiri majlis sambutan hari lahir seorang rakan di pusat karaoke.

“Saya memang tak pergi kelab malam. Kalau anda nak tahu, daripada video tular tersebut, saya sebenarnya sedang menghadiri sebuah majlis hari jadi yang diadakan di ruang khas dan eksklusif di sebuah KTV (pusat karaoke).

“Sejak bergelar artis daripada tahun 2002 sehinggalah 2025, saya memang menjaga ukhwah bersama kawan-kawan dan kenalan daripada semenanjung sehingga Sabah dan Sarawak.

“Bila ada di antara mereka yang datang ke Kuala Lumpur dan mengadakan apa sahaja majlis, rasanya tak salah untuk saya hadir. Jika ada video saya berada di acara terbuka kelab malam, sila tunjuk bukti.

“Saya bukan budak-budak. Saya tak pergi mana-mana kelab malam. Saya hanya pergi ke tempat ‘high end’ sahaja. Terpulang kepada anda nak panggil tempat itu apa,” katanya kepada MH.

Pelakon filem Gila-Gila Pengantin Remaja itu berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Beego turut tidak menolak kemungkinan video itu sengaja dirakam untuk menjatuhkan reputasinya dan mengeruhkan lagi keadaan rumah tangganya.

“Pada saya, Linda tidak akan buat sebegitu. Ia mungkin daripada orang-orang di sekeliling atau yang menjadi mata-mata dia. Saya tak kisah.

“Di dunia ini, kita memang tak dapat melihat syaitan. Namun, ada juga syaitan yang nyata di mana mereka suka merosakkan rumah tangga orang,” ujarnya.

“Saya Bukan Tunjuk-Tunjuk, Saya Cari Diri Sendiri”

Disebabkan video tersebut, ada netizen meluahkan rasa kecewa terhadap Beego dan melabel dirinya berpura-pura sewaktu menghadiri majlis tabligh sebelum ini.

Namun, Beego menegaskan, perubahan dirinya ke arah lebih baik bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada masyarakat, sebaliknya demi mencari ketenangan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Berpura-pura itu adalah sebuah andaian yang skeptikal dan subjektif. Yang menilai ini kebanyakannya daripada orang luar.

“Saya pergi ke sana (sertai tabligh) bukannya nak tunjuk kepada masyarakat yang saya sudah jadi alim. Saya ke sana untuk mencari diri sendiri, tebus dosa dan luang masa bersama Allah SWT.

“Gambar-gambar dan video saya ketika di sana itu telah dimuat naik oleh orang lain. Saya tak dapat nak kawal.

“Tolak tepilah segala andaian-andaian negatif. Mungkin daripada video saya itu, ada yang terbuka hati untuk turut serta ke majlis tabligh.

“Setidaknya kita ada buat satu perkara baik. Biarlah manusia yang memfitnah. Saya tahu apa yang saya buat. Kita tak boleh nak tutup mulut orang. Hanya sebab sekeping gambar seakan di kelab, orang boleh buat beribu andaian,” jelasnya lagi.

Terdahulu, prosiding perceraian antara Beego dan Linda di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan tidak dapat diteruskan.

Menurut peguam Beego, Muhammad Akmal Amzan, mahkamah menetapkan tarikh 16 Disember 2025 untuk pihak Linda memfailkan taklik yang masih belum dibuat.

Sementara itu, peguam yang mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin memaklumkan anak guamnya meminta penangguhan proses tersebut disebabkan isu kesihatan anak mereka.

Walau apa pun, Beego tetap percaya rumah tangganya masih boleh diselamatkan dan dia tidak pernah berhenti berusaha untuk memujuk isterinya agar tidak meneruskan perceraian.

Untuk rekod, Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga anak perempuan iaitu Jelita Clarissa, Anggun Cassandra, dan Indah Camelia.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf