
Pelakon, Kamal Adli menyifatkan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini pastinya berbeza selepas dia dan bekas isterinya yang juga aktres, Uqasha Senrose memutuskan untuk bercerai pada 12 Januari lalu.
Bagaimanapun, Kamal memaklumkan, dia tetap akan pulang ke kampung halaman ibunya bagi menyambut hari raya bersama keluarga tercinta.
“Suasana raya pada tahun ini pastinya berbeza. Sepatutnya tahun ini, saya sekeluarga beraya di Pahang. Ini kali pertama para menantu di dalam keluarga saya merasa beraya di kampung ibu saya.
“Tapi keluarga saya pula tidak berkesempatan. Menantu-menantu lainlah yang akan rasa suasana itu.
“Saya akan duduk bilik kongsi dengan adik lelaki. Apapun, saya tetap akan balik kampung. Kalau tak balik, rasa pelik pula,” katanya kepada MH.
Menurut Kamal lagi, meskipun dia bakal pulang ke kampung seorang diri, dia tetap merancang untuk meluangkan masa bersama anaknya, Hawra Uqaira terlebih dahulu.
Dalam masa sama, Kamal turut berterima kasih kepada Uqasha kerana sentiasa memudahkan urusannya untuk bertemu dengan Hawra meskipun dia masih belum mendapat hak bermalam.
“Buat masa ini, saya belum dapat hak untuk membawa Hawra bermalam. Saya faham sahaja situasi ini. Mungkin pihak Uqasha risau dan anggap saya kurang berpengalaman.
“Dapat berjumpa pun saya sudah sangat bersyukur. Waktu tidurnya adalah pada pukul 10 malam. Sebelum waktu itu, saya sudah hantar dia pulang. Saya akan pastikan dia sudah mandi.
“Saya gembira kerana Uqasha juga memudahkan urusan saya berjumpa dengan Hawra. Ada kalanya, dia juga sibuk bekerja.
“Jadi, dia pun mengharapkan saya untuk mengambil Hawra dan luangkan masa bersama.
“Hawra juga seronok bila dapat luang masa bersama saya. Bila setiap kali saya ambil Hawra dan dia teruja berjumpa saya, saya memang bersyukur sangat,” kongsinya lagi.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang dilahirkan pada 27 April 2024.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini