
Pelakon dan aktivis seni, Datin Seri Umie Aida menzahirkan rasa sedih atas pemergian suami kepada rakan artis, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, Allahyarham Bung Moktar Radin, awal pagi tadi.
Perkara tersebut dikongsikan Umie melalui satu hantaran di Instagram.
Dalam perkongsian itu, Umie mengimbas kembali dua pertemuan ringkas bersama arwah ketika urusan majlis ilmu di Sabah.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Saya pernah bertemu dengan arwah sebanyak dua kali atas urusan majlis ilmu di Sabah.
“Allahuakbar… Allahyarham Bung Moktar memang sangat-sangat baik dan tolong saya seikhlasnya, memastikan program untuk rakyat Sabah berjalan lancar,” coretnya.
Dalam hantaran sama, Umie turut menitipkan doa agar arwah ditempatkan dalam kalangan insan beriman, selain memuji sifat pemurah dan keprihatinan Allahyarham semasa hayatnya.
“Semoga arwah dikurniakan tempat yang indah di syurga atas sifatnya yang baik, pemurah, suka membantu dan tidak pernah lokek berbuat kebaikan.
“Moga Allah mengangkat darjatnya dalam kalangan ahli syurga. Amiin. Salam takziah buat ahli keluarga arwah,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Allahyarham Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, dilapor menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1.46 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini