Categories: Berita Hiburan

“Sama Ada Lagu Saya Dipilih Atau Tidak, Bukan Saya Yang Tentukan,” – Bella Astillah

Share

Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan peminat apabila lagunya, Lebih Indah Berpisah yang menjadi runut bunyi (OST) untuk drama tempatan sebelum ini telah ditukar.

Menurut Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, segala hal berkaitan lagu diuruskan sepenuhnya oleh syarikat rakaman.

“Mengenai perkara itu, saya tak boleh nak ulas apa-apa kerana pihak label, Universal Music yang uruskan segalanya.

“Saya belum dimaklumkan lagi mengenai perkara ini,” katanya kepada MH.

Bella berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran platform pencarian bakat, Social Celeb yang berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Petaling Jaya pada Selasa.

Pada masa sama, ibu kepada dua orang cahaya mata ini turut memaklumkan, dia juga tidak tahu lagunya telah dipilih menjadi OST drama tersebut sebelum ini.

“Saya risau untuk mengulas lanjut kerana sama ada lagu saya dipilih atau tidak, itu bukan saya yang tentukan.

“Malah, saya juga tak tahu lagu saya itu telah dipilih menjadi OST drama tersebut sebelum ini.

“Saya tahu mengenai hal ini pun daripada peminat. Mereka yang banyak mengambil berat tentang karya-karya saya. Kalau tidak, saya pun tak tahu,” ujarnya lagi.

Hargai Sokongan Peminat

Mengulas mengenai reaksi peminat, Bella menyifatkan semua pihak berhak memberikan pandangan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ada pihak yang menyokong kerjaya saya.

“Mungkin mereka memang menonton drama tersebut. Jadi, mereka pun beri pandangan dan pendapat masing-masing.

“Saya ingin berterima kasih kepada para peminat yang mengambil berat dan terus mendengarkan lagu-lagu saya,” kongsinya lagi.

Terdahulu, Bella diumumkan sebagai antara selebriti dan pempengaruh media sosial yang turut terlibat dalam program pencarian bakat baharu, Social Celeb.

Platform ini dirangka untuk menjadi jambatan antara bakat baharu dan industri hiburan profesional dengan menyediakan akses menyeluruh kepada latihan intensif serta peluang uji bakat secara langsung.

Para peserta akan diberi peluang mengikuti bengkel eksklusif, sesi persembahan langsung serta uji bakat untuk projek filem, drama bersiri dan kandungan OTT.

Di peringkat akhir, 100 peserta terbaik akan dipilih untuk menyertai produksi sebenar sekali gus memberikan pengalaman yang bukan sekadar latihan, tetapi juga titik permulaan kerjaya profesional.

Kesemua peserta bakal mendapat bimbingan daripada Star Mentors yang terdiri daripada artis popular tanah air seperti Datuk Afdlin Shauki, Nabil Ahmad, Nabila Huda dan Datuk Aaron Aziz.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

@mediahiburanofficial Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah menyampaikan lagu Lebih Indah Berpisah di majlis pengenalan platform pencarian bakat terbaharu, SocialCeleb. SosialCeleb merupakan platform yang dirangka untuk menjadi jambatan antara bakat baharu dan industri hiburan profesional dengan menyediakan akses menyeluruh kepada latihan intensif dan peluang uji bakat secara langsung. #MHnews #MediaHiburan ♬ original sound – Media Hiburan
Published by
Aizam Manaf