Berita

Rupanya 20 Tahun Rahsia Cinta, Salamiah Kini Tenang Dalam Memberi – “Saya Dah Lalui Semua, Sekarang Cuma Nak…”

Share

Selama lebih tujuh dekad bergelumang dalam dunia seni, penyanyi legenda, Salamiah Hassan akui dia selesa untuk menempuh fasa hidup yang lebih tenang dan bermakna.

Bagi figura berusia 74 tahun ini, jatuh bangun dalam kehidupan bukan sekadar bab dalam kisah nostalgia atau kejayaan seni, malah turut dihiasi dengan pengorbanan, kehilangan, dan pencarian kebahagiaan yang sebenar.

Dalam satu sesi pemulihan diri yang dikendalikan oleh pakar pembangunan insan, Dr. Hisham Dzakiria, di Ascott Kuala Lumpur baru-baru ini, Salamiah tampil tenang namun penuh perasaan, membuka sisi dirinya yang lebih peribadi dan mendalam.

“Saya dah lalui semua. Sekarang ni saya cuma nak buat yang terbaik. Bukan untuk siapa-siapa, tapi untuk diri sendiri, keluarga dan untuk jumpa suami di jannah,” katanya.

Lebih menyentuh hati apabila beliau berkongsi buat kali pertama mengenai hubungan rahsia selama 20 tahun bersama seorang lelaki yang meninggal dunia akibat kanser tahap empat ketika pandemik.

“Saya sendiri simpan rahsia itu lama. Sampai anak-anak pun tak tahu. Bila saya pasti dengan apa yang saya rasa, barulah saya beritahu mereka. Mereka semua terkejut,” katanya.

“Dia selalu pesan, ‘Jadi apa yang you nak jadi dalam hidup’. Sampai sekarang saya ingat. Itu yang buat saya terus nak jadi lebih baik,” katanya lagi.

Sesi tersebut turut melibatkan teknik visualisasi dan latihan pernafasan mendalam menggunakan pendekatan Neuro-Linguistic Programming (NLP) bagi membantu dirinya menjadi versi diri yang lebih kuat secara fizikal dan emosi.

“Manusia ni penuh dengan corak (pattern). Kalau nak berubah, kita kena tahu pattern mana yang rosakkan kita. Dan kena tukar dengan pattern yang bantu kita jadi lebih baik,” jelas Dr. Hisham.

Cari Kedamaian & Keikhlasan Diri

Salamiah turut mendedahkan, dia kini cenderung kepada kedamaian dalaman dan tidak lagi mengutamakan perhatian luaran.

Banyak koleksi baju mewahnya telah diberi kepada saudara mara, dan ada juga disedekahkan kepada golongan bukan Islam.

“Dulu saya suka beli baju. Sekarang saya bagi pada orang. Yang tak ada lengan saya bagi pada mereka yang bukan Islam, yang berlengan saya beri pada anak-anak saudara. Saya rasa ringan bila saya lepaskan,” katanya.

Ibu kepada penyanyi Atilia Haron ini juga menyifatkan pemergian lelaki yang dicintainya pada hari Jumaat sebagai pemergian yang penuh keberkatan.

Sesi hampir sejam itu berakhir dengan satu pengajaran utama bagi Salamiah, iaitu untuk benar-benar memberi pada orang lain, seseorang itu perlu cukup dan tenang dari dalam dahulu.

“Saya nak sihat, saya nak tenang, saya nak gembira. Kalau orang cakap pasal saya pun, saya tetap senyum. Sebab itu pahala saya,” akhirinya.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH