Berita

“RM30,000 Tu, Sekarang Juga Mama Boleh Transfer Tapi…,” – Cik B Sertai TTMM Bukan Kejar Wang, Tapi Nak Banggakan Datuk Seri Vida

Share

Pempengaruh dan usahawan, Cik B menyatakan keyakinannya untuk bersaing dengan peserta lain menjelang konsert minggu pertama Talk To My Manager (TTMM) musim kedua yang bakal berlangsung pada 19 April ini.

Menurut Cik B atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, setiap peserta mempunyai peluang yang sama untuk menyerlahkan bakat sepanjang program berlangsung.

“Saya rasa diri saya punyai pemikiran yang kreatif. Seperti semua orang tahu, program TTMM ini bukan hanya memfokuskan pada suara tapi juga mementingkan aspek persembahan.

“Jadi, itu yang membuatkan diri saya rasa yakin untuk bertanding dengan peserta-peserta lain,” katanya kepada MH.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media TTMM musim kedua, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Cik B turut memaklumkan penyertaannya bukanlah sekadar sebagai pelengkap, sebaliknya mahu memanfaatkan peluang untuk memperbaiki diri.

“Pada saya, penglibatan saya di dalam program ini bukan sekadar penyeri, malah, saya juga peluang dan potensi untuk menyinar. Isnya-Allah, saya akan usaha mencapai sasaran seperti mana yang mama harapkan.

“Saya juga punyai sasaran untuk menurunkan berat badan. Saya seronok bila dengar TTMM ini ada aktiviti harian. Saya boleh masuk kelas vokal, tarian dan sesi brainstorming.

“Kalau di rumah, saya terperap di dalam bilik sahaja. Banyak main game dan buat bisnes. Saya rasa aktiviti seperti itu tak sepadan dengan diri saya.

“Saya nak turunkan berat badan sehingga 80 kilogram. Selepas habis TTMM, saya nak terus fokus dalam bisnes. Saya nak bina keyakinan diri. Tiadalah rasa mengah lagi, kongsinya.

Selain itu, Cik B juga menegaskan dirinya sudah bersedia berdepan dengan kritikan termasuk komen netizen.

“Saya sudah bersedia. Lagipun, saya sudah biasa dikritik. Saya akan buat tak kisah sahaja. Itu hanyalah kata-kata sahaja. Bukannya kita dipukul pun.

“Saya sudah lali. Salama ini, saya tak pernah tengok pun apa yang orang komen berkenaan diri saya. Dahulu, mungkin saya terkesan. Kini, saya tak kisah lagi,” katanya lagi.

Sokongan Padu Ibu, Cik B Tak Kejar Hadiah

Dalam pada itu, ibunya yang juga usahawan terkenal, Datin Seri Vida, memuji pihak Astro dan penaja kerana memberi peluang kepada Cik B untuk menyertai program popular tersebut.

Katanya, peluang seperti ini sukar diperoleh sekiranya penaja tidak bersikap terbuka.

“Memang begitulah. Kita tidak akan diberikan ruang langsung. Kalau ikutkan nak tengok dari jauh pun tak boleh. Jadi, saya merasakan penaja program ini sangat bagus.

“Bila pihak Astro nak menghubungi kami, mereka perlu bertanya kepada pihak penaja juga. Alhamdulillah, penaja izinkan. Takkanlah tak nak Cik B pula.

“Saya orang yang pertama bersetuju dengan tawaran ini. Pada musim lalu, mereka ada menghubungi Cik B tapi ketika itu, dia sedang mengalami kecederaan.

“Kali ini, saya nak sangat Cik B sertai program ini. Saya nak Cik B tunjukkan bakat yang dia miliki kepada semua. Sebelum ini, saya hanya lihat persembahan Cik B dari jauh sahaja. Sebab kalau depan saya, dia jadi malu,” kongsinya.

Sementara itu, Cik B menegaskan penyertaannya dalam TTMM bukanlah untuk mengejar hadiah utama, sebaliknya untuk membanggakan ibunya.

“Kita tahu, pemenang akan bawa pulang RM30,000. Saya tak nak menang pun ganjaran itu. Saya hanya mahu melihat mama bangga sahaja.

“Untuk RM30,000 itu, mama boleh sahaja bagi terus kepada saya. Lagipun, saya sedar kemampuan saya. Saya akan cuba buat yang terbaik,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf