
Selepas lapan minggu bersaing dan membuktikan kemampuan, penyanyi Ariel Fesol mencipta kejutan apabila dinobatkan selaku juara Big Stage Aplha yang melabuhkan tirai saingannya di Royal Theatre, Shah Salam pada Ahad.
Menewaskan enam peserta lain, kemenangan tersebut membolehkan anak jati Kuala Lumpur itu membawa pulang hadiah utama bernilai RM30,000 dan trofi.
Ketika memberi ucapan di atas pentas, Ariel yang tidak dapat menahan sebak memanjatkan rasa syukur dan menyifatkan penantian selama 16 tahun kini berakhir.
“Syukur ke hadrat Illahi. Saya tunggu momen ini selama 16 tahun. Saya masuk banyak pertandingan tapi tak jadi.
“Impian saya adalah untuk punyai rock band tapi Allah lebih tahu. Kini saya ada Alpha,” katanya.
Ariel menampilkan persembahan luar biasa menerusi lagu I Don’t Wanna Miss A Thing dan Hands Up.
Tempat kedua pula berjaya diraih oleh Ray-D sekali gus meraih hadiah berjumlah RM20,000.
Sementara itu, tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM10,000 berjaya diraih oleh Rizal Rasid
Daniel Sher pula diumumkan sebagai pemenang tempat keempat diikuti oleh Araff ditempat kelima.
Melengkapkan senarai pemenang adalah Izat Ibrahim yang menduduki tempat ke-6.
Ketiga-tiga mereka berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000.
Tempat ke-7 pula dimenangi oleh Afiq Sky sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000 dan trofi.
Sementara itu, hasrat penonton untuk melihat ketujuh-tujuh finalis dipilih ke dalam boy group ‘Alpha’ menjadi kenyataan apabila tiada penyingkiran berlaku dipentas akhir ini.
Ini bermakna kesemua tujuh finalis telah dipilih untuk menganggotai boy group Alpha dan akan menjalani latihan intensif di Korea Selatan.
Malah, buat pertama kalinya kumpulan Alpha membuat debut dan mempersembahkan single terbaharu mereka yang berjudul Monalisa.
Pada malam final ini, kesemua peserta diadili oleh juri tetap Edry Abdul Halim, Datuk Syafinaz Selamat dan Hael Husaini manakala penyanyi, Marsha Milan pula bertindak selaku juri jemputan.
Para finalis diberikan dua tugasan iaitu solo dan berkumpulan.
Final Big Stage Alpha dihoskan oleh gandingan pencara Elly Mazlein dan Rina Nose dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Astro Go.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini