Categories: Berita Hiburan

Reaksi Tegas PU Riz Terhadap Insiden Pijak Al-Quran, Seru Hormati Batas Antara Agama

Share

Pendakwah bebas, PU Riz meluahkan rasa kecewa susulan penularan seorang individu memijak kitab Al-Quran lalu memuat naik perbuatan tersebut ke media sosial.

Menurut PU Riz, tindakan berkenaan bukan sahaja membangkitkan kemarahan, malah disifatkan sebagai satu penghinaan besar terhadap agama.

“Baru-baru ini ada viral di bulan Ramadan, ada seorang individu yang memijak Al-Quran dan ini adalah perkara yang sangat-sangat menyakitkan hati umat Islam.

“Dan orang itu bukan saja memijak Al-Quran, dia juga memuatnaik perkara yang dibuat itu di media sosial. Itu juga satu penghinaan terbesar pada satu orang yang lain dalam konteks agama.

“Kalau kalian tidak rasa marah atau geram, kalian bukanlah orang yang normal. Itu jujur apa yang saya katakan,” katanya.

Luahan tersebut dikongsikan oleh bapa kepada dua cahaya mata itu menerusi satu hantaran video di Instagram pada Jumaat.

Seruan Hormati Batas Antara Agama

Dalam pada itu, PU Riz turut mengingatkan bahawa setiap agama mempunyai batas dan prinsip yang perlu dihormati oleh semua pihak demi menjaga keharmonian bersama.

“Apa yang kita diajar supaya kita tidak melanggar perimeter yang ada antara satu agama dengan agama yang lain. Jangan kamu menghina agama yang menyembah selain daripada Allah.

“Itu adalah prinsip dan fahaman kita. Ini satu perkara menyedihkan sebab ada individu yang sengaja,” katanya lagi.

Dalam pada itu, PU Riz turut mengimbas insiden terdahulu yang pernah mencetuskan sensitiviti agama, serta bagaimana pihak terlibat tampil memohon maaf secara terbuka.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya menyeru kepada semua agama, tidaklah kita menyakiti hati bangsa atau agama lain kerana kalaulah agama kita tidak dapat hormati pada seseorang itu, apa lagi kita boleh hormat seseorang itu.

“Sebab agamalah yang membawa pendidikan akhlak, bawa seseorang tunduk dan taat perintah Allah. Agama juga menjadikan seseorang itu ‘governed by the law in the society’.

“Jadi kalau kita tidak ambil pendekatan ini untuk menstabilkan hubungan antara kita, ia akan berlarutan dan mungkin peristiwa buruk akan berlaku.

“Semoga Malaysia didoakan dalam keadaan aman damai dan semoga Allah mengangkat institusi Islam di kemuncak dan kestabilan mengamalkan agama di negara ini dikekalkan,” katanya lagi.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH