
Penyanyi, Rayme Zainal mengakui karier nyanyian bukan lagi menjadi keutamaannya sebaliknya kini memberi tumpuan penuh kepada bidang perniagaan sebagai penganjur acara.
Jelas Rayme, 47, bidang nyanyian hanya dijadikan hobi serta pekerjaan tambahan kerana dia lebih selesa dengan kerjaya baharunya yang mampu menjanjikan pendapatan tetap.
“Buat masa ini hanya lebih fokus kepada pengurus acara ini kerana rezeki dalam perniagaan ini lebih berpihak kepada saya selain dapat menjana pendapatan.
“Nyanyian ini saya hanya buat sekadar pendapatan tambahan sahaja kalau ada undangan nyanyian baru saja saya aktif balik namun dalam perancangan mengeluarkan single terbaru.
“Kalau hendak kata rindu menyanyi memang tidak diakui namun saya masih boleh menyanyi di acara yang saya anjurkan bahkan lagu-lagu saya masih lagi ada sambutan juga,” katanya.
Raymie berkata demikian pada majlis pelancaran Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025 dan pengumuman penaja di MiCasa All Suites Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Festival itu telah berlangsung lima hari bermula 12 September lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), bersempena sambutan Hari Malaysia.
Antara tarikan utama ialah Fun Run Anjung Malaysiaku Foodies Fiesta 2025 pada 16 September yang dijangka disertai lebih 1,000 peserta.
Lebih istimewa, larian itu akan diserikan dengan kemunculan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama sokongan Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya (MOTAC).
Turut dianjurkan, Konsert Ambang Hari Malaysia menampilkan barisan artis popular antaranya Aina Abdul, Khai Bahar, Hazama, Amylea Adnan serta bintang baharu seperti kumpulan Alpha dan juara Raising The Star, Didie Shazry.
Pelbagai aktiviti lain turut disediakan termasuk ceramah motivasi dan podcast.
Rayme sebelum ini pernah menyertai program realiti All Together Now pada 2022, manakala lagu-lagunya seperti Andaidan Close To You mendapat perhatian pendengar di Spotify.
Sepanjang Ramadan lalu, syarikatnya, Raydiates Blue Sdn. Bhd. berjaya menganjurkan Bazar Aidiltri Anjung Syawalsebagai sebahagian daripada Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025 selama 33 hari.
Bazar raya terbesar di Lembah Klang itu menerima sambutan luar biasa apabila lebih 300 peniaga berjaya mencatat jualan mencecah RM10 juta hasil kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus berbelanja.
Mengulas lanjut, Rayme menyasarkan penganjuran acara bertaraf antarabangsa pada skala besar tahun hadapan bagi merancakkan lagi industri pelancongan negara.
Rayme pada masa sama menegaskan, usaha ini adalah langkah untuk melebarkan sayap syarikat dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa melalui festival seni dan budaya, dengan sokongan agensi kerajaan serta kolaborasi bersama sektor korporat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini