Berita

“Rasa Tersepit Tu Dah Overrated,” – Nabila Huda Penat Cari Jalan Berbaik, Kini Serah Kepada Amy Search Pulihkan Hubungan Keluarga

Share

Setelah sekian lama berusaha memperbaiki hubungan, pelakon Nabila Huda merasakan dirinya kini telah memasuki fasa berserah apabila kemelut keluarga bersama bapanya yang juga penyanyi legenda, Amy Search didakwa masih belum berkesudahan.

Menurut Nabila, sudah tiba masa untuk bapanya menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan mencari jalan terbaik agar hubungan mereka kembali harmoni.

“Nak bercakap soal berbaik, saya rasa lebih baik tanya pihak di sana. Saya sudah banyak kali jawab pertanyaan ini tapi masih tiada jalan penyelesaian.

“Dia ketua keluarga dan juga seorang ayah. Mungkin dia yang harus selesaikan apa yang sepatutnya diselesaikan,” katanya kepada MH.

Pelakon filem Gayong itu berkata demikian ketika ditemui di majlis berbuka puasa Together Gather anjuran Viu di KLGCC Mall, Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam masa sama, Nabila turut mempersoalkan keputusan bapanya yang dilihat seakan sanggup membiarkan situasi ini terus berpanjangan.

“Kalau saya tak dapat jumpa anak saya sendiri, saya tidak boleh meneruskan kehidupan. Saya tidak akan rasa gembira dan akan melalak setiap hari kerana dia darah daging saya. Dia membesar dengan saya.

“Namun, saya tak tahu pula macam mana dengan papa. Mungkin dia juga merasakan hal yang sama cuma dia tak tahu nak buat macam mana. Come on la.

“Pada saya perasaan tersepit itu sudah ‘overrated’. Cubalah buat sesuatu pula. Namun, kalau tak boleh buat sesuatu, tak mengapalah. Saya reda dan tak mahu fikirkan sangat,” ujarnya lagi.

Mahu Teruskan Kehidupan & Fokus Keluarga

Jelas ibu kepada seorang cahaya mata ini lagi, meskipun perasaan rindu masih kuat, namun kini dia mahu memberi ruang kepada dirinya sendiri dan meneruskan kehidupan bersama keluarga kecilnya.

“Di bulan Ramadan ini, saya tidak ada rindukan sesiapa lagi. Saya kini mahu meneruskan kehidupan. Baru-baru ini, memang saya ada merindukan seseorang. Sebab itu saya muat naik hantaran di media sosial.

“Ada sesuatu yang buat saya trigger. Kini, saya sudah move on. Saya sudah penat nak bercakap berulang kali. Namun, saya juga manusia dan ada perasaan.

“Kalau saya rasa sedih, gembira atau marah, saya akan luahkan sahaja. Perasaan sedih itu kita tak boleh nak elak tapi ia akan berlaku sekali sahaja.

“Saya bukan nak meraih simpati, mencipta kontroversi atau sengaja buat orang sedih. Saya sudah lalui fasa itu dan tak perlukannya lagi. Saya gembira dengan hidup saya yang sederhana,” akhirinya.

Dalam perkembangan lain, Nabila bakal bergandingan bersama pelakon Hun Haqeem menerusi drama terbaharu berjudul Cela yang akan ditayangkan di platform penstriman Viu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf