
Pelakon Indonesia, Annisa Kaila, mengakui perlu berfikir panjang sebelum menerima tawaran membintangi filem Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel.
Menurut Annisa, pada awalnya dia berasa bimbang untuk menerima watak Astrid.
“Bila pertama kali ditawarkan watak ini, saya agak terkejut dan tidak menyangka akan bawakan watak tersebut. Ini satu cabaran baharu buat saya,” katanya kepada MH.
Annisa berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Dalam masa sama, pelakon berusia 17 tahun itu mendedahkan dirinya menerima pelbagai kecaman daripada netizen yang terkesan dengan watak antagonis yang dibawakannya.
Namun, Annisa tidak berkecil hati dan menganggap reaksi tersebut sebagai bukti kejayaan wataknya memberi impak kepada penonton.
“Kecaman itu sudah tentu ada. Ketika tayangan perdana di Indonesia, ada ibu-ibu yang bergurau mencubit saya. Mereka sangat marah dengan watak saya itu.
“Saya juga menerima banyak DM yang meluahkan rasa marah. Di ruangan komen juga ramai yang mengecam. Semua orang seolah-oleh benci betul dengan saya.
“Namun, saya tidak berasa hati kerana itu bermakna saya berjaya membawakan watak itu dengan baik. Saya gembira sebenarnya. Perasaan itu bercampur baur,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Annisa mengakui watak Astrid setakat ini menjadi antara watak paling berat pernah dibawakan susulan keterbatasan maklumat.
“Saya akui watak ini sangat susah untuk dibawakan. Antara sebabnya kerana saya memang tidak berjumpa langsung dengan individu yang sebenar.
“Saya juga tidak punyai sebarang rujukan atau video berkaitan individu tersebut kerana ketika itu, dia masih di bawah umur. Kesemua akaun media sosialnya sudah ditutup.
“Satu-satunya cara untuk saya dalami watak tersebut ada bertanyakan kepada bapa mangsa dan mangsa sendiri.
“Saya bertanya bagaimana cara dia bercakap dan pembawakan diri malah sehingga caranya mengusap rambut dan membakar rokok ketika kejadian itu,” katanya lagi.
Filem Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel, mengangkat inspirasi kisah melibatkan seorang remaja, David Ozara serta perjuangan bapanya, Jonathan Latumahina dalam menuntut keadilan.
Filem tersebut turut memfokuskan isu ketidakseimbangan sistem perundangan, pengaruh kuasa, suara rakyat serta perjalanan emosi dan spiritual keluarga mangsa.
Diarahkan oleh Umbara Brothers iaitu Anggy Umbara dan Bounty Umbara, filem ini diterbitkan oleh Umbara Brothers Film dengan kerjasama VMS Studio, 786 Entertainment, Rumpi Entertainment, Makara Production, A&Z Films dan Dbay Film Factory.
Selain Annisa Kaila, filem ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Chicco Jerikho, Muzakki Ramdhan, Erdin Werdrayana, Tika Bravani, Donny Damara dan Mathias Muchus.
Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Januari ini.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.