Categories: Berita Hiburan

Ramai Followers Tapi Harap Makan ‘Free’? Adriana Adnan Tegur Keras Sikap Influencer & KOL Suka Meminta

Share

Pelakon dan pengacara, Adriana Adnan tidak bersetuju dengan sikap segelintir individu yang didakwa terlalu mengharapkan barangan atau makanan percuma hanya kerana status mereka sebagai pempengaruh (influencer) atau personaliti media sosial.

Menurut Adriana, sikap meminta-minta seperti itu dilihat tidak wajar dan sebagai seseorang yang mempunyai pengaruh besar, mereka sepatutnya menunjukkan sokongan dengan cara yang betul.

“Janganlah buat perangai seperti itu. Kita datang kedai orang nak makan. Makanan itu adalah rezeki dan akan menjadi darah daging kita. Macam mana jika tuan kedai tak halalkan?

“Kalau orang tak pelawa, takkan kita nak minta percuma pula. Macam tak kena rasanya. Mereka adalah peniaga yang turut sama mencari rezeki juga.

“Para influencer dan KOL di luar sana, janganlah meminta-minta makanan percuma. Kalau orang pelawa, barulah kita ambil,” katanya kepada MH.

Bekas pengacara program Hlive itu berkongsi pandangan tersebut ketika ditemui di majlis sidang media drama terbaharunya, Impiana Karma, di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Rabu.

Tambahnya lagi, sebagai individu berpengaruh, kita perlu menghormati penat lelah pemilik perniagaan yang berusaha meneruskan perniagaan mereka setiap hari.

“Jika tuan kedai pelawa pun saya memilih untuk bayar. Tuan kedai dan para pekerja bersusah payah menyediakan bahan dan masak.

“Tak kanlah senang-senang kita nak minta makan percuma hanya kerana kita ada banyak followers.

“Kita kena ingat, mereka ini adalah peniaga dan mahu mencari rezeki. Kalian juga mencari rezeki dengan membuat konten. Jadi, anda juga mestilah perlu ada modal untuk buat konten.

“Bila buat konten, jangan ingat segalanya mengharapkan percuma sahaja. Kita kena ada usaha juga untuk mengeluarkan modal sendiri,” kongsinya lagi.

Cabaran Bawa Watak Pembuli

Beralih kepada kerjayanya, Adriana turut berkongsi pengalaman berlakon dalam siri adaptasi novel popular, Impiana Karma.

Menurutnya, cabaran terbesar yang dihadapi ialah membawakan watak sebagai pembuli, yang jauh berbeza daripada keperibadiannya di dunia sebenar.

“Saya terharu dan gembira kerana dapat berkongsi layar dengan nama-nama besar seperti Che Puan Juliana Evans, Tiz Zaqyah, Ezzanie Jasny dan Yuna Rahim.

“Bawa watak ‘mean girls’ ini memang mencabar. Bila berlakon kita memang all out. Bila habis sahaja babak, saya akan terus minta maaf sebab watak ini terlampau teruk.

“Dari situ, saya dapat rasakan yang tindakan membuli orang itu memang tak best walaupun hanya dalam lakonan.

“Saya sendiri tak boleh bayangkan macam mana orang di luar sana terutamanya kanak-kanak boleh membuli tanpa ada rasa belas kasihan,” kongsinya lagi.

Siri Impiana Karma bakal menemui penonton pada setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam bermula 19 November ini di saluran Astro Ria (104).

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf