Categories: Hiburan

Qasrina Karim Tak Goyang Dikritik, Janji Akan Datang Lebih Bersedia – “Saya Manusia Biasa, Punyai Hati Dan Perasaan.”

Share

Pelakon, Qasrina Karim akui teruja apabila penonton kini sudah dapat melihat sisi kematangannya di dalam dunia lakonan selepas membintangi drama Thariq Ridzuan: His Treasure.

Menurut Qasrina, ada beberapa babak yang benar-benar mencabar emosinya dan dia bersyukur usahanya itu mendapat perhatian.

“Alhamdulillah. Saya seronok bila penonton dapat rasai lakonan saya lebih-lebih lagi bila membawakan babak-babak yang penuh emosi. Saya gembira dan lega,” katanya kepada MH.

Qasrina berkata demikian ketika ditemui pada acara watch party drama berkenaan yang berlangsung di Eunoia Event Hall, Cyberjaya pada Rabu.

Bagaimanapun, Qasrina tetap menerima setiap kritikan dengan hati terbuka.

“Pada saya, kita tak boleh nak puaskan hati semua pihak. Ada yang akan bersetuju dan ada yang tidak. Tak mengapa. Semua orang berhak untuk memberikan pendapat. Saya terima dengan hati yang terbuka.

“Saya sedar diri saya ini punyai kekurangan juga. Jadi, untuk projek seterusnya, saya akan pastikan diri saya lebih bersedia dan yakin dengan watak yang bakal dibawa,” ujarnya lagi.

Tambah Qasrina, dia juga sedar ada beberapa babak yang boleh dilakukan dengan lebih baik untuk memberi impak lebih mendalam kepada penonton.

“Setiap kali, saya menonton semula lakonan saya di dalam drama ini, pasti ada perasaan di mana saya sebenarnya boleh lakukan lebih baik. Saya sentiasa rasa tak cukup.

“Rasanya setiap pelakon juga akan lalui situasi sama. Ada beberapa babak yang saya rasa puas bila lakonan saya sampai kepada penonton.

“Malah, ada juga babak di mana saya sedar lakonan saya kurang ‘sampai’. Namun, saya kini reda dengan hasil kerja saya. Saya kena perbaiki diri saya untuk masa hadapan,” katanya.

Hadapi Kritikan & Tekanan Media Sosial

Dalam masa sama, Qasrina memaklumkan dia terpaksa menyekat beberapa akaun di media sosial demi memberikan tumpuan penuh terhadap lakonannya.

“Masa mula penggambaran, pengarah minta saya untuk berhenti baca komen kerana ia memberikan kesan kepada kualiti lakonan saya.

“Banyak akaun yang saya perlu sekat dan di TikTok pula saya perlu tekan ‘uninterested’ untuk konten-konten negatif. Saya terima macam-macam komen negatif.

“Ada yang kritik saya secara peribadi dan merendahkan fizikal saya. Saya manusia biasa yang punyai hati dan perasaan,” kongsinya.

Qasrina juga mengakui komen negatif sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada mental dan fizikalnya.

“Ada yang kata saya terima watak ini kerana fizikal saya sesuai dengan karater di dalam novel dan bukan kerana bakat saya.

“Karakter Radwa di dalam novel merupakan seorang yang pendek dan ada lesung pipit. Lakonan merupakan pekerjaan yang meminjam perasaan.

“Saya perlu masuk ke set dengan macam-macam emosi. Bila di dunia nyata pula, saya dihantui perasaan negatif,” akhirinya.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf