
Pelakon Hong Kong, Toby Chan, membuat keputusan drastik dalam hidupnya apabila berpindah dari rumah mewah yang pernah dikongsi bersama bekas teman lelaki kepada sebuah flat sederhana selepas berakhirnya hubungan cinta selama hampir lapan tahun.
Menurut laporan The Standard HK, Toby, 38, telah berpindah dari sebuah rumah mewah di Kau To Shan yang sebelum ini menjadi pusat tumpuan khalayak, dan kini menetap di sebuah flat berkeluasan 500 kaki persegi di Wong Tai Sin.
Walaupun kecil, rumah flat tersebut telah dibelinya pada tahun 2020 bukanlah murah sebaliknya dibeli pada harga yang cukup mahal iaitu sekitar HK$9 juta (RM4.6 juta).
Perubahan ini berlaku selepas bekas ratu cantik itu mengakhiri hubungan cinta dengan usahawan kosmetik, Benny Yeung, sekitar tiga bulan lalu kerana perbezaan nilai hidup.
Perpindahan ke kediaman yang lebih kecil ini dilihat sebagai simbol transformasi hidup lebih berdikari dan sederhana bagi pelakon popular ini.
Toby juga dikatakan kini mengurus sendiri urusan harian termasuk memandu sendiri tanpa bergantung kepada pemandu peribadi serta lebih berjimat dalam perbelanjaan harian.
Beliau turut menafikan khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan hos televisyen Charles Teng, menegaskan bahawa hubungan mereka hanyalah sekadar persahabatan profesional.
Sebagai seorang pelakon TV dan filem, wanita berusia 38 tahun ini muncul dalam beberapa drama serta filem popular. Antara hasil lakonannya termasuk “G Storm” (2021), “Prison Flowers” (2023) dan “PTU 2019” (2019).
Walaupun hubungan itu berakhir, Toby dilihat masih aktif dan ceria dalam penampilan umum dan memberi tumpuan penuh kepada kerjaya seni yang telah dibinanya sejak menjuarai pertandingan ratu cantik lebih 16 tahun lalu.
Imbas kembali, pemilik nama penuh Toby Chan Ting Yan ini merupakan pemenang gelaran Miss Hong Kong 2010 dan kemudiannya mewakili negaranya ke Miss Chinese International 2010 sekaligus berjaya berada di kedudukan top 6.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan