Pelakon dan pengacara, Janna Nick tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya apabila impian untuk mendukung watak sebagai anggota badan beruniform akhirnya akan menjadi realiti tidak lama lagi.
Katanya, dia bakal terlibat di dalam sebuah drama yang bakal diterbitkan JS Pictures berjudul Leftenan Zana yang dijangka akan memulakan penggambarannya selepas sambutan Aidilfitri tahun ini.
“InsyaAllah, selepas pulang dari Russia untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia sebagai wakil Vivo Malaysia, saya akan kembali ke set penggambaran sebuah drama bersama Sheila Rusly berjudul Leftenan Zana.
“Mungkin akan pegang watak sebagai askar bernama Zana dan mungkin juga akan potong rambut pendek balik. Kalau nanti memang kena pegang watak askar, jadi kenalah buat sikit persediaan,” kongsi Janna kepada MH.
Bagaimanapun, hos Melodi di samping Ajak ini belum boleh kongsi butiran terperinci mengenai drama berkenaan kerana ia masih lagi di peringkat awal perancangan.
“Cuma saya teruja kerana planning ini sejak dari tahun lalu lagi. Saya yang suarakan hasrat kepada Sis (Sheila Rusly). Teringin untuk berlakon di dalam sebuah drama yang melibatkan badan beruniform.
“Sebab memang sejak daripada zaman sekolah, cita-cita saya adalah untuk menjadi anggota polis. Namun rasanya tidak kesampain kerana saya ada alami masalah rabun.
“Jadi apabila dapat peluang untuk watak yang kita dambakan, itulah yang seronoknya,” jelas Janna yang dijadualkan bakal membintangi sebuah teater muzik yang diinpirasikan daripada sebuah drama popular tahun 90-an, Pengantin Popular November depan di Istana Budaya.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI