
Pendakwah bebas dan suami kepada selebriti popular, Neelofa iaitu PU Riz mendedahkan pernah berlaku satu situasi apabila ada sebuah jenama besar dikatakan membatalkan kontrak bernilai jutaan ringgit terhadap isterinya selepas dia memilih untuk berniqab.
PU Riz berkongsi perkara tersebut ketika menjawab soalan moderator dalam sebuah majlis ilmu baru-baru ini, yang menyentuh mengenai isu trendy semasa dalam kalangan anak muda.
“Dulu ada sebuah syarikat besar, menjual produk penjagaan wajah dari Perancis. Mereka kata, ‘Neelofa sudah pakai niqab, jadi kita perlu fikirkan semula sama ada nak ambil dia atau tidak.’
“Jadi mereka bubarkan kontraklah. Nilainya jutaan ringgit. Saya tengok juga. Saya pun kata dalam hati ‘Ya Allah kalau aku dengan nilai juta-juta ni, minta disambung kembalilah (kontrak).’ Tapi Neelofa tidak memilih begitu,” dedahnya.
Bagaimanapun, selepas imej Muslimah pengacara Next To Neelofa itu menjadi perhatian, syarikat sama difahamkan kembali menawarkan kontrak dengan nilai yang berlipat kali ganda.
“Selang beberapa tahun, bila Neelofa memakai niqab dan menonjolkan cara pemakaian yang cantik dan trendy, orang pun beli serta memakai niqab.
“Malah ada yang datang kepada saya dan menangis, mereka terinspirasi, lalu turut memakai niqab.
“Nak dijadikan cerita, syarikat yang ‘buang’ Neelofa dahulu itu, datang kembali beri tawaran berkali ganda dan jutaan ringgit tinggi berbanding dengan tawaran dahulu.
“Meminta dan merayu untuk menjadikan semua Neelofa sebagai duta mereka,” akuinya lagi.
Dalam perkongsian sama, PU Riz turut menitipkan nasihat agar setiap insan percaya bahawa rezeki pasti hadir jika Allah SWT sentiasa menjadi keutamaan.
“Kita sangka, makin tutup aurat, makin orang menjauh.. kita sangka kita makin dekat dengan Allah, manusia tak akan menyukai kita.
“Tetapi percayalah apabila tuhan berada dalam hati kita, tuhan akan membimbing setiap langkah kita.
“Bukan sahaja manusia tetapi setiap makhluk akan jatuh cinta dengan kita tanpa kita paksa.
“Pesan saya kepada golongan muda terutamanya, tak payah takut sekiranya kita membawa agama sebagai cara hidup kita.
“Tidak usah rasa gusar kalau kita dilihat agak ke belakang kerana yang memberi kejayaan, yang menentu kita hebat atau tidak, dan menjaga langkah kita bukanlah diri sendiri tetapi Allah SWT.
“Jadi kalau hari ni rasa sedih, percayalah di hujung nanti akan ada kejayaan yang diberi oleh Allah SWT, yang tidak disangka oleh pemikiran kita,” katanya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini