
Pelawak, Achey tidak menyangka populariti luar biasa yang telah dicetuskan oleh anaknya, Nur Tiara Zinnirah kini menjadi kesayangan ramai dek kerana telatahnya yang lucu dan bersahaja.
Menurut Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah, perkara itu tidak pernah dirancang dan merupakan rezeki pemberian Allah SWT.
“Saya agak terkejut dengan gelombang yang dia bawakan Tiara ketika ini. Pada saya, ini semua adalah rezeki Allah.
“Walaupun tindak tanduknya sangat random dan tidak perlu merancang apa-apa tapi dia boleh buat orang sayang pada dia.
“Saya berharap orang ramai juga dapat terus mendoakan Tiara supaya dia dapat membesar dengan lebih baik,” katanya kepada MH.
Achey berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media program Muzikal Lawak Superstar 2025 (MLS2025), baru-baru ini.
Pada masa sama, Achey menyifatkan sikap Tiara tidak pernah berubah meskipun namanya kini sudah semakin besar.
“Popularitinya sudah melangkaui saya dua hingga tiga kali ganda. Baru-baru ini, saya sekeluarga pergi Cameron Highland, saya masih boleh berjalan tapi dia tidak. Kejap-kejap orang ajak bergambar.
“Orang tanpa henti panggil nama Tiara tiada lagi nama Achey. Nama Tiara itu terlalu kuat. Walaupun populariti luar biasa, namun saya tetap kena pantau.
“Dia tak pernah lupa diri dan video-video yang dipaparkan itu memang diri dia sendiri. Dia tak pernah berlagak kerana dia ada rumah atau kereta besar.
“Dia tetap membesar macam kanak-kanak biasa. Saya tak nak satu hari nanti dia merungut kerana hilang zaman kanak-kanaknya,” kongsinya lagi.
Jelas Achey lagi, dia tidak pernah menghalang orang ramai untuk bertemu dengan Tiara lebih-lebih lagi ketika di luar.
“Dia sentiasa okay tapi jangan biar dia lapar atau janji apa-apa. Kalau berjanji, dia akan tuntut. Apapun, dia masih lagi budak. Saya tak pernah menghalang kalau orang ajak bergambar.
“Pada saya, itu adalah proses pembelajaran dan pengalaman untuk Tiara. Kita lihat pada zaman sekarang, orang belajar tinggi-tinggi tapi tiada adab.
“Bila berjumpa orang, secara tidak langsung dia belajar fasal adab dan cara menyambut orang. Dia bagi salam dan salam cium tangan. Pada saya, adab tetap nombor satu,” katanya lagi.
Pada masa sama, Achey menyifatkan Tiara sebagai anak yang genius dan punyai cara sendiri untuk belajar.
“Dari segi pelajaran, saya masih lagi pantau. Dia masih merangkak lagi bila membaca. Sama seperti dahulu. Walaupun dia agak perlahan dalam pelajaran tapi dia genius.
“Dia mudah menghafal dan mengingati sesuatu perkara. Matematiknya juga sangat hebat. Bab kira duit memang kesukaannya.
“Saya bukan nak dedahkan dia sangat tapi dahulu masa zaman kita kecil-kecil, kita berdikari tanpa media sosial. Kita belajar dengan cara bermain di luar. Hal seperti itu tiada lagi di zaman ini,” akhirinya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Kredit Foto: Instagram Anne Achey