Personaliti televisyen dan bekas isteri legenda sukan permotoran dunia, Ralf Schumacher, Cora Schumacher dilaporkan kembali menemui sinar kebahagiaan selepas hampir enam tahun melalui kehidupan sebagai wanita solo pasca perceraian.
Perkembangan itu hadir selepas Cora melalui fasa emosional yang mencabar susulan pendedahan terbuka Ralf mengenai orientasi seksualnya serta hubungan dengan pasangan lelaki, satu pengakuan yang sebelum ini mencetuskan kejutan dan kekecewaan mendalam dalam dirinya.
Menurut laporan, lelaki yang kini rapat dengan Cora dikenali sebagai Steven Bo Bekendam, seorang model warga Amerika Syarikat. Hubungan mereka difahamkan telah terjalin sejak beberapa bulan lalu dan semakin serius kebelakangan ini.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Cora meluahkan perasaannya terhadap hubungan baharu itu dengan menyifatkan pasangannya sebagai sumber ketenangan dan harapan baharu dalam hidupnya.
“Dia memberi saya ketenangan, dia memberi saya harapan dan membuatkan saya percaya semula,” tulisnya.
Sebelum ini, Cora secara terbuka meluahkan rasa terkilan apabila mengetahui pengakuan bekas suaminya itu melalui laporan media, bukannya secara peribadi. Beliau menyifatkan situasi tersebut sebagai satu tamparan emosi, lebih-lebih lagi apabila perkahwinan mereka yang bertahan lebih sedekad dibina atas dasar kepercayaan dan komitmen bersama.
Untuk rekod, Cora dan Ralf mendirikan rumah tangga pada 2001 sebelum berpisah pada 2015, dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.
Sepanjang tempoh perkahwinan, Cora sering tampil sebagai figura penting yang menyokong kerjaya Ralf dalam arena Formula 1, termasuk ketika bekas pemandu itu berada di kemuncak popularitinya.
Dalam kenyataan terdahulu, Cora menegaskan beliau tidak mempertikaikan hak Ralf untuk menentukan kehidupan peribadinya sendiri, namun berharap kejujuran dikemukakan dengan lebih berhemah demi menjaga perasaan semua pihak yang terlibat.
Imbas kembali, Cora Schumacher merupakan personaliti televisyen terkenal di Jerman, yang membina nama menerusi penyertaan aktif dalam beberapa rancangan realiti popular di negara itu.
Selain sering muncul dalam program bual bicara dan hiburan, beliau dikenali ramai selepas menyertai rancangan realiti berprofil tinggi seperti Ich bin ein Star – Holt mich hier raus! (versi Jerman I’m a Celebrity… Get Me Out of Here!)
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

