
Pelakon, Erysha Emyra mengakui dirinya sudah lali apabila sering digosipkan mempunyai hubungan cinta dengan rakan pelakon setiap kali mereka digandingkan dalam sesebuah naskhah.
Menurut Erysha, situasi tersebut langsung tidak membuatkan dirinya berasa marah atau tersinggung.
Sebaliknya, dia memahami perkara itu merupakan sebahagian daripada asam garam kehidupan sebagai anak seni.
“Jika saya digandingkan dengan mana-mana pelakon lelaki, biasanya memang ada pihak yang akan kenen-kenenkan. Sudah tentu kerana mereka tonton drama kita dan suka lihat kita bersama.
“Saya okay sahaja. Tiadalah sampai nak marah atau terasa. Jika peminat gembira, saya pun suka. Ramai yang tak tahu, bila kita jalani penggambaran berbulan-bulan, sudah pasti kita akan rapat.
“Malah, jika kita bekerja di pejabat sekali pun, selepas berbulan-bulan, pasti kita akan rapat dengan pekerja meja sebelah. Ada yang kata, lepas habis drama, kenapa masih nampak bersama?
“Kita hanya meneruskan pertemanan itu,” katanya kepada MH.
Anak kepada pelakon Noniswara itu berkata demikian ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjuran LOL Entertainment, baru-baru ini.
Mengulas mengenai hubungannya bersama pelakon yang juga anggota kumpulan Alpha, Ariel Fesol, Erysha menjelaskan mereka selesa berkawan, lebih-lebih lagi selepas bergandingan menerusi drama Satu, Dua… Dia?
“Saya selesa berkawan dengan Ariel sama seperti saya selesa berkawan dengan orang lain. Pada saya, Ariel seorang lelaki yang baik dan menghormati orang lain.
“Ketika di set penggambaran, dia juga baik dengan orang-orang yang menguruskan saya seperti pengurus peribadi, stylist dan lain-lain lagi.
“Dia pandai menyesuaikan diri. Itulah kualiti yang baik bila seseorang pelakon itu nak masuk ke dalam industri seni,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Erysha menjelaskan dia tidak boleh mengawal perasaan orang lain, terutamanya para peminat yang mungkin kurang gemar melihat dirinya dikaitkan dengan mana-mana pelakon lelaki.
“Sudah tentu ada yang tak suka bila kami dikenen-kenenkan. Bila kita dikatakan rapat dengan mana-mana pelakon, mesti ada peminat-peminat kita yang tak berapa suka.
“Kita tak boleh nak puaskan hati semua orang. Pada saya, orang luar buat bercakap atau mentafsirkan apa sahaja. Saya tidak risau.
“Apa yang saya paparkan di media sosial, itu hanyalah apa yang ingin saya tunjukkan sahaja. Apa yang terjadi di belakang tabir, banyak yang mereka tidak tahu,” kongsinya lagi.
Mengulas mengenai persoalan cinta lokasi, Erysha percaya perasaan cinta boleh berputik di mana-mana sahaja tanpa mengira tempat atau keadaan.
“Saya percaya kerana pada saya, cinta itu boleh berputik di mana-mana sahaja. Bila kita berjumpa di sekolah atau pejabat, perasaannya sama sahaja. Bezanya cuma tempat,” katanya.
Sementara itu, Erysha turut menjawab persoalan sama ada hatinya kini sudah berpunya atau sebaliknya.
“Jika lihat pada jari yang kosong ini, itu bermakna belum ada (teman istimewa). Dalam dunia ini, perjalanan hidup kita panjang.
“Sudah tentu ada fasa bila kita kenal dan rapat dengan seseorang. Kita bukanlah nak try & error sahaja tapi mesti kita nak cari orang yang serasi dengan kita,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini