Categories: Berita Hiburan

Penyanyi Legenda, Zaiton Sameon Diumum Sebagai Peserta Ke-14 GV12!

Share

Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) menyaksikan kejutan apabila pihak produksi mengumumkan penyanyi lagenda Zaiton Sameon, 69 sebagai peserta ke-14 yang akan bertanding di program realiti nyanyian berkenaan.

Pengumuman tersebut dibuat ketika segmen memperkenalkan barisan peserta bertanding yang bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, sebentar tadi.

Pesona Bintang Legenda

Zaiton merupakan penyanyi era 80-an yang terkenal menerusi lagu Menaruh Harapan, Kabut Serangkai Mawar dan banyak lagi.

Pengumuman tersebut nyata mengejutkan kerana sebelum ini, hanya 12 peserta yang dimaklumkan akan bertanding manakala seorang lagi menerusi tiket wildcard.

Sewaktu pengumuman tersebut dibuat, rata-rata penonton bersorak sekaligus tidak sabar untuk menyaksikan Zaiton beraksi di pentas GV12.

Selain Zaiton, bintang yang bertanding GV12 ialah Dato’ Elaine Kang, Krisya, Mell Sakura, Korie, Rahmat Ekamatra, Mark Adam dan Nubhan bersama duo pop Freshies (Ejie dan Shima).

Turut bersaing bintang Indonesia iaitu Shae, Ruri Repvblik serta trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana).

Sementara itu, penyanyi Iskandar Ismail menjadi satu-satunya peserta tunggal yang mewakili negara Singapura.

Manakala, penyanyi dan pelakon, Shy8 atau lebih sinonim dengan panggilan Usop Wilcha pula merupakan peserta wildcard.

Pada musim ini, pihak Astro masih mengekalkan maestro muzik, Datuk Ramli MS sebagai ketua juri yang akan didampingi Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi lagenda Indonesia, Hetty Koes Endang.

Sementara itu, pelawak dan penyampai radio, Nabil Ahmad kekal sebagai pengacara dan akan bergandingan bersama artis versatil, Sherry Alhadad.

GV12 akan berlangsung selama 12 minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam.

Rancangan hiburan keluarga ini juga boleh ditonton menerusi platform Astro One dan sooka.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf