
Dunia muzik kehilangan seorang lagi lagenda apabila penyanyi utama kumpulan rock heavy metal ternama, Black Sabbath, Ozzy Osbourne dilaporkan meninggal dunia pada Selasa, 22 Julai 2025.
Ozzy, 76, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Birmingham, England dengan ditemani isteri tersayang, Sharon Osbourne serta anak-anak mereka. Khabar duka itu disahkan oleh ahli keluarga terdekat dan menamatkan khabar angin kesihatan beliau yang telah berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kematian penyanyi legenda itu berlaku hanya 17 hari selepas beliau membuat persembahan terakhir dalam konsert amal khas “Back to the Beginning” di Villa Park, Birmingham yang merupakan lokasi simbolik kepada permulaan karier muziknya bersama Black Sabbath lebih lima dekad lalu.
Konsert tersebut disambut penuh emosi dan nostalgia oleh peminat tegar dan rakan artis, termasuk ahli asal Black Sabbath, Tony Iommi dan Geezer Butler, yang turut membuat penampilan khas pada malam bersejarah itu.
Ozzy, atau nama sebenarnya John Michael Osbourne, dikenali ramai sebagai ‘Prince of Darkness’ dalam dunia rock dan heavy metal.
Selain kejayaan bersama Black Sabbath, beliau juga mencipta nama menerusi kerjaya solo yang mencatatkan jutaan jualan album di seluruh dunia serta rancangan realiti popular, The Osbournes
yang memperkenalkan sisi peribadi keluarganya kepada peminat global.Penyanyi ikonik itu turut bergelut dengan pelbagai isu kesihatan termasuk penyakit Parkinson, kecederaan tulang belakang dan masalah pernafasan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, beliau tetap tekad untuk menamatkan kariernya dengan satu persembahan terakhir yang dianggap sebagai hadiah istimewa buat para peminat.
Pemergian Osbourne menerima penghormatan luas daripada pemuzik tersohor seperti Elton John, Metallica dan Questlove yang masing-masing menyifatkannya sebagai lagenda tiada pengganti serta pelopor kepada revolusi muzik metal dunia.
“Saya amat sedih menerima berita pemergian @ozzyosbourne. Beliau merupakan seorang sahabat yang amat saya hargai serta perintis besar dalam dunia muzik yang telah mengukir tempatnya dalam kelompok legenda rock, benar-benar seorang lagenda.
“Beliau juga antara individu paling lucu yang pernah saya temui. Saya akan merinduinya. Kepada Sharon dan keluarga, saya ucapkan takziah dan kirimkan kasih sayang saya,” tulis Elton John di hantaran Instagramnya.
Jenazah Osbourne difahamkan akan dikebumikan secara tertutup atas permintaan keluarga.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan