Categories: Hiburan

Penyanyi Latin Fede Dorcaz Maut Ditembak Dalam Kejadian Rompakan

Share

Dunia hiburan Latin dikejutkan dengan pemergian penyanyi dan model terkenal Argentina, Fede Dorcaz, yang dilaporkan maut selepas ditembak dalam satu kejadian rompakan bersenjata di Mexico City, pada Jumaat lalu.

Menurut laporan media antarabangsa, penyanyi berusia 29 tahun itu ditembak di bahagian leher ketika sedang memandu pulang selepas menghadiri sesi latihan untuk program tarian popular Las Estrellas Bailan En Hoy. Mangsa difahamkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum sempat menerima rawatan.

Siasatan awal pihak berkuasa Mexico mendapati kejadian berlaku apabila Dorcaz dipercayai diserang oleh sekumpulan empat lelaki bersenjata yang menaiki dua buah motosikal. Suspek dikatakan cuba merampas kenderaannya sebelum melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian kini sedang diperiksa oleh polis bagi mengenal pasti identiti penyerang, namun sehingga kini, tiada sebarang tangkapan dibuat. Kes disiasat sebagai pembunuhan bersenjata dan rompakan terancang.

Fede Dorcaz, yang nama sebenarnya Federico Dorcaz, mula dikenali di Argentina sebagai penyanyi pop dan model fesyen yang aktif di pentas hiburan Amerika Latin. Beliau baru-baru ini menetap di Mexico untuk mengembangkan karier seninya, termasuk penyertaannya dalam rancangan realiti berprofil tinggi terbitan Televisa itu.

Berita kematian tragis Dorcaz turut mengundang kesedihan dalam kalangan rakan artis dan peminat di seluruh rantau. Produksi Las Estrellas Bailan En Hoy menerusi satu kenyataan rasmi di media sosial menzahirkan rasa dukacita dan menganggap pemergian Dorcaz sebagai satu kehilangan besar kepada industri hiburan.

“Fede meninggalkan kekosongan besar dalam pasukan kami. Ingatan dan semangatnya akan terus memberi inspirasi kepada kita selama-lamanya,” petik kenyataan rasmi produksi tersebut.

Setakat ini, pihak keluarga Dorcaz masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi dan meminta agar privasi mereka dihormati. Mayat beliau kini berada di Mexico City menunggu proses penghantaran pulang ke Argentina untuk urusan pengebumian.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA