Categories: Hiburan

Penyanyi Lagu Messy Pengsan Atas Pentas Ketika Membuat Persembahan

Share

Penyanyi British yang sedang meningkat naik, Lola Young, mencetuskan detik cemas apabila dia tiba-tiba pengsan sewaktu membuat persembahan di All Things Go Music Festival, New York City pada 27 September lalu.

Ketika sedang mendendangkan lagu “Conceited” di Forest Hills Stadium, Lola dilaporkan rebah secara mengejut. Pasukan perubatan bergegas naik ke pentas sebelum membawanya keluar untuk rawatan lanjut.

Penonton yang memenuhi stadium jelas terkejut dengan insiden tersebut, namun ramai bangun memberi tepukan serta sorakan tanda sokongan buat penyanyi itu.

Apa yang lebih membimbangkan, insiden ini berlaku hanya sehari selepas Lola membatalkan persembahannya di acara lain atas faktor yang digambarkan pengurus sebagai “urusan sensitif”. Ramai mula mengaitkan situasi itu dengan isu kesihatan yang sedang dihadapinya.

Lola sebelum ini pernah berkongsi tentang cabaran kesihatan mentalnya. Sejak usia 17 tahun, dia didiagnos dengan schizoaffective disorder dan mengakui ada hari-hari di mana emosinya terlalu “tinggi” atau terlalu “rendah”.

Disebabkan itu, kadangkala dia perlu mengambil langkah perlindungan untuk memastikan keselamatan diri sendiri.

Dalam kenyataan rasmi selepas insiden, wakil pengurusnya menjelaskan bahawa ada hari di mana mereka terpaksa membuat keputusan sukar demi kebaikan Lola. “Dia perlu lindungi dirinya daripada risiko yang boleh membahayakan,” kata pengurus berkenaan.

Rakan industri dan peminat tidak menunggu lama untuk meluahkan kebimbangan serta mendoakan kesihatannya. Malah, liputan media antarabangsa segera menjadikan kisah Lola sebagai tajuk utama kerana insiden ini berlaku hanya seminggu selepas pelancaran album terbarunya, “I’m Only F—— Myself” pada 19 September lalu.

Lola sebelum ini mencipta fenomena apabila lagu Messy nyanyiannya mendapat perhatian ramai dan cukup popular dalam kalangan pendengar muzik antarabangsa.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA