Penyanyi dangdut tersohor Indonesia, Yunita Ababiel telah meninggal dunia pada Ahad lalu, 13 Julai 2025 di kediamannya yang terletak di Depok, Jawa Barat. Difahamkan, Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1 pagi.
Berita pemergian penyanyi era 1990-an itu disampaikan sendiri oleh rakan seindustri yang juga Raja Dangdut Indonesia, Rhoma Irama, menerusi satu hantaran di Instagram yang dikemas kini pada hari kejadian.
“Inna Lillahi wa Inna Ilaihi Roji’un. Telah berpulang ke rahmatullah, salah seorang insan dangdut tanah air, Hajah @yunitaababiel,” tulisnya ringkas namun penuh makna.
Keluarga arwah turut berkongsi berita duka tersebut melalui akaun Instagram peribadi Yunita, memohon doa agar roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Beliau sebelum ini diketahui menghidap kanser payudara sejak dua tahun lalu dan menjalani rawatan yang berterusan termasuklah kemoterapi dan pembedahan.
Imbas kembali, Yunita yang dilahirkan di Bandung pada 15 Januari 1964 mula bergiat aktif dalam dunia seni sejak usia muda, dengan album sulung Maafkan Sayang diterbitkan pada tahun 1979.
Beliau dikenali bukan sahaja sebagai penyanyi dangdut, tetapi juga pernah merakamkan beberapa lagu pop, termasuk karya ciptaan komposer terkenal seperti A. Riyanto dan Rinto Harahap.
Kemuncak kariernya dicapai menerusi album Trauma pada tahun 1999, di mana lagu utama dalam album itu menjadi antara lagu paling popular ketika era tersebut. Jika dilihat pada capaian digital, lagu tersebut menerima tontonan lebih 16 juta kali di laman YouTube sehingga kini.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan