
Dunia hiburan India dikejutkan dengan pemergian penyanyi terkenal Bollywood, Zubeen Garg, yang maut dalam satu insiden ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan sekitar St John’s Island, Singapura, semalam.
Artis berusia 52 tahun itu difahamkan menghadapi kesukaran bernafas sewaktu menyelam sebelum dibawa ke permukaan oleh pasukan penyelam lain. Walaupun rawatan kecemasan segera termasuk bantuan pernafasan dan CPR diberikan, Zubeen disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Singapore General Hospital.
Zubeen berada di Singapura bagi memenuhi undangan persembahan di North East India Festival, sebuah acara budaya yang menghimpunkan seni, muzik dan tarian masyarakat timur laut India.
Kehadirannya dinanti ramai peminat, namun tragedi itu meragut nyawanya sehari sebelum beliau dijadualkan naik ke pentas.
Penyanyi ini mula mencipta nama pada pertengahan 2000-an menerusi lagu popular Ya Ali daripada filem Gangster (2006) yang meledak di carta muzik Bollywood dan Asia.
Selain Hindi, beliau juga aktif menghasilkan karya dalam bahasa Assamese, Bengali dan Nepali, menjadikannya antara artis paling berpengaruh dari timur laut India.
Berita kematian Zubeen telah mengundang kesedihan mendalam di tanah airnya. Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma, memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan membawa pulang jenazah beliau selepas proses post-mortem selesai dijalankan di Singapura.
“Saya kehilangan kata-kata untuk menggambarkan apa ertinya Zubeen bagi Assam… Suaranya mempunyai keupayaan luar biasa untuk membangkitkan semangat orang ramai dan muziknya berbicara terus ke minda serta jiwa kita.
“Beliau telah meninggalkan satu kekosongan yang tidak akan pernah terisi. Generasi akan datang akan mengingatinya sebagai tokoh besar budaya Assam, dan karya-karyanya akan terus menginspirasi lebih ramai artis berbakat pada hari-hari dan tahun-tahun mendatang.
“Di luar muziknya, hubungan beliau dengan rakyat dan semangatnya untuk membantu orang lain akan sentiasa dikenang,” katanya.
Zubeen dikenali bukan sahaja sebagai penyanyi, malah juga komposer, pelakon dan aktivis sosial. Karier seninya merentasi lebih tiga dekad dengan ratusan lagu dirakamkan, puluhan album diterbitkan serta penglibatan dalam filem-filem tempatan.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan