Penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah melakar sejarah peribadi apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Borneo MeleTOP pada Konsert MeleTOP TVS yang berlangsung di Stadium Tertutup Miri, malam tadi.
Menerusi penghargaan itu, Dayang atau nama penuhnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty mengakui berasa terkejut, namun bersyukur atas pengiktirafan yang diterima di tanah kelahirannya sendiri.
“Saya terkejut tapi pada masa sama, saya bersyukur. Saya tak percaya perkara ini berlaku dan ingin berterima kasih.
“Bila dapat penghargaan seperti ini, ia beri motivasi untuk saya terus menjadi lebih baik buat peminat dan mereka yang menghargai muzik saya,” katanya.
Dalam pada itu, Dayang tidak menafikan dirinya sebak ketika berdiri di pentas menerima anugerah berkenaan.
Ini kerana baginya, sokongan berterusan peminat menjadi kekuatan utama untuk terus berkarya.
“Ya saya sebak. Selama ini, saya menyanyi bukan untuk mengejar anugerah. Saya rasa dihargai. Sokongan yang diberikan itu sangat luar biasa.
“Apa yang saya buat selama ini rasa berbaloi,” katanya yang turut terharu melihat persembahan istimewa Nadeera.
Menerusi segmen tribute itu, Nadeera yang juga juara program Big Stage 5 menyampaikan dua lagu ikonik Dayang, Hakikat Cinta dan Erti Hidup.
Ditanya sama ada pernah terdetik untuk menamatkan perjalanan seni, Dayang menegaskan, muzik ialah impian yang telah lama dipegang.
“Tak semua orang mendapat kerjaya yang mereka idamkan tapi saya dapat. Saya patut bersyukur.
“Namun, kita harus dikelilingi dengan orang‑orang positif dan boleh berikan nasihat yang bagus. Selain keluarga sentiasa menjadi tonggak utama.
“Mereka tulang belakang saya nombor satu. Apapun yang berlaku, kembalilah kepada keluarga.
“Bapa saya pernah berpesan, ‘berjaya atau tidak, bapak sentiasa ada’. Itu saya ingat sampai sekarang,” katanya.
Anugerah khas tersebut disampaikan oleh Pengerusi TVS, Datuk Hajjah Norhyati Ismail, dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, Mohamad Sardon Zainal.
Ia sebagai tanda penghargaan atas sumbangan Dayang yang berjaya mengharumkan nama Borneo di persada muzik tanah air.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Kredit Foto: Instagram Meletop
@mediahiburanofficial Selayaknya! Tahniah Dayang Nurfaizah. Pastinya ia jadi satu momen terindah, apatah lagi bila diiktiraf di negeri kelahiran sendiri. Jalan terus ya Dayang! #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ original sound – Media Hiburan