Categories: Berita Hiburan

“Pengalaman Paling Indah… Tak Terfikir Pun,” – Umairah Pecah Rekod Siti Nurhaliza, Jadi Pemenang Termuda ABP37!

Share

Penyanyi meningkat naik, Umairah mencipta sensasi apabila muncul selaku pemenang bagi kategori Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Paling Popular ke-37 (ABP37), malam tadi.

Menurut Umairah, dia menyifatkan kemenangan tersebut sebagai momen terindah di dalam hidupnya sepanjang 14 tahun.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengundi saya. Di usia 14 tahun ini, ini pengalaman paling indah.

“Saya tak terfikir pun akan menang anugerah ini,” katanya kepada MH.

Anak kepada penyanyi, Siti Sairah itu berkata sedemikian ketika ditemui di sidang media ABP37 yang berlangsung di Primiera Hotel, Kuala Lumpur.

Syukur Rezeki

Dalam masa sama, Umairah turut tidak menyangka dirinya bakal memecahkan rekod yang dipegang oleh ibu saudaranya yang juga Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pemenang termuda dalam sejarah Anugerah Bintang Paling Popular.

“Saya pun tak percaya yang saya akan memecahkan rekod Siti Nurhaliza sebagai pemenang termuda. Sejak kecil saya selalu tonton ibu saudara saya menang anugerah.

“Saya pernah bercakap dengan nenek yang satu hari nanti, saya juga nak memang anugerah seperti itu. Kata nenek, saya perlu bekerja keras sama seperti Mak Iti,” katanya yang bersyukur atas rezeki.

Dalam kategori Artis Baharu Popular, Umai mengetepikan sembilan pencabar lain iaitu Aqeesh Aleeya, Arabella Ellen, Arena Wan, Auni Yusri, Marygrace, Qila Shahirah, Qistina Rania, Saidah Kamarudin dan Wanie Ooi.

Published by
Aizam Manaf