Categories: Berita Hiburan

Pengacara Raja Rashtam Tak Pernah Lalai Minta Restu Ibu, Baca Ayat 1,000 Dinar & Doa Nabi Sulaiman Sebelum Kendali Majlis

Share

Pengacara Raja Rashtam, 32, berkongsi rahsia utama yang sentiasa menjadi pegangannya sebelum mengendalikan sesuatu majlis adalah doa restu daripada ibu tercinta.

Menurut Raja Rashtam, setiap kali menerima tugasan, dia pasti akan menghubungi ibunya terlebih dahulu untuk memaklumkan serta memohon restu agar didoakan kelancaran.

“Jujur, sebelum mula majlis, saya akan hubungi mama maklumkan ada tugasan yang perlu dilaksanakan dan minta dia doakan kelancaran.

“Mama selalu memberikan kata-kata positif, dan semangat kepada saya. Dia selalu pesan agar sentiasa fokus, jangan gementar, buat seikhlas hati serta pikul tanggungjawab dan tugasan yang diberi dengan baik. Dah jadi rutin,” katanya.

Selain doa ibu, Raja Rashtam juga mengamalkan bacaan Surah Al-Insyirah sebanyak tujuh kali, ayat 1000 Dinar serta doa Nabi Sulaiman sebelum keluar rumah atau sebelum acara bermula.

Amalan kerohanian ini menurutnya bukan sahaja menenangkan jiwa, malah membuka jalan agar segala urusan dipermudahkan serta diberkati.

“Saya percaya doa dan amalan ini merupakan satu bentuk ikhtiar.

“Kita sebagai manusia perlu berusaha untuk sentiasa memberikan yang terbaik, tapi pada masa sama serahkan segalanya pada Allah SWT,” ujarnya lagi.

Amanah Seorang Pengacara

Dalam pada itu, Raja Rashtam menegaskan setiap majlis yang dikendalikannya adalah satu amanah besar yang dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Saya berkarya untuk client tanpa mengira siapa mereka. Setiap satu adalah amanah.

“Saya akan pastikan semua berjalan lancar, tersusun dengan sempurna. Dan bila client berpuas hati, itulah merupakan kejayaan yang sebenar sebagai seorang pengacara majlis,” tegasnya.

Baru-baru ini, Raja Rashtam diberi kepercayaan mengendalikan majlis pernikahan selebriti popular Nelissa Senrose.

Majlis kendaliannya mendapat pujian ramai, dengan tetamu terpesona terhadap tutur katanya yang indah dan tersusun.

Kehadiran Raja Rashtam bukan sekadar memastikan kelancaran perjalanan acara, malah turut menambah nilai emosi serta kemeriahan.

Profesionalismenya yang mampu menggabungkan gaya teratur dengan sentuhan peribadi meninggalkan kesan mendalam di hati tetamu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
MH