
Misteri kehilangan influencer dan penyanyi Austria, Stefanie Pieper, akhirnya terungkai apabila mayatnya ditemui disumbat dalam sebuah beg pakaian dan ditanam di kawasan hutan di Slovenia, selepas bekas teman lelakinya tampil membuat pengakuan kepada pihak berkuasa.
Stefanie, 31, dilaporkan hilang pada 23 November lalu selepas menghadiri sebuah pesta Krismas. Kehilangannya disedari apabila beliau tidak hadir ke sesi penggambaran kerja dan gagal dihubungi ahli keluarga, sekali gus mencetuskan laporan polis.
Siasatan awal membawa polis menahan bekas teman lelakinya, seorang lelaki warga Slovenia berusia 31 tahun yang dipercayai individu terakhir bersama mangsa.
Syak terhadap suspek bertambah apabila polis menemui keretanya terbakar di kawasan parkir sebuah kasino berhampiran sempadan Austria–Slovenia.
Suspek kemudian ditahan pihak berkuasa Slovenia sebelum diserahkan kepada polis Austria. Ketika disoal siasat, lelaki berkenaan akhirnya mengaku terlibat dan menunjukkan lokasi mayat Pieper disembunyikan.
BACA JUGA: Finalis MasterChef Malaysia Dihukum Penjara 34 Tahun Kerana Bunuh Pembantu Rumah
Berpandukan maklumat itu, polis menemui beg pakaian berisi mayat mangsa yang ditanam di dalam sebuah hutan di Slovenia. Pemeriksaan awal forensik mendapati mangsa dipercayai maut akibat dicekik.
Dua lagi individu iaitu abang dan bapa tiri suspek turut ditahan kerana disyaki membantu melindungi suspek serta berpotensi menghalang siasatan, namun pembabitan mereka masih dalam siasatan lanjut.
Tragedi kejam ini turut mengundang kejutan besar dalam komuniti digital antarabangsa, memandangkan Pieper dikenali sebagai pempengaruh kecantikan dan penyanyi yang aktif berkongsi kandungan di media sosial.
Pihak berkuasa Austria dan Slovenia kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar serta melengkapkan kronologi pembunuhan itu sebelum pertuduhan rasmi difailkan terhadap suspek di mahkamah.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan