Berita

Peluang Jumpa Daesung Big Bang Depan Mata, D’s Wave 2025 Bakal Menggegar! – “Penganjur Bersetuju Beri Harga Berpatutan Buat Peminat.”

Share

SAH Entertainment mencipta sejarah tersendiri apabila bakal menganjurkan konsert artis K-pop buat pertama kali menerusi D’s Wave 2025 Asia Tour In Singapore.

Ia dijadualkan berlangsung pada 2 Ogos 2025, jam 8 malam, bertempat di Arena @ Expo, Singapura.

Konsert ini menampilkan Daesung, salah seorang ahli kumpulan legenda K-pop Big Bang, yang bakal menghiburkan ribuan peminat dengan rangkaian lagu-lagu hit sepanjang kariernya sebagai sebahagian daripada siri jelajah Asia Tenggaranya bagi tahun ini.

Menurut Sufi Rashid selaku  Pengarah Urusan SAH Entertainment, pihaknya komited untuk memastikan harga tiket yang ditawarkan adalah berpatutan bagi peminat yang sudah lama menantikan peluang menyaksikan idola mereka secara langsung.

“Untuk konsert Daesung kali ini, pihak penganjur bersetuju untuk memberikan harga yang berpatutan buat para peminat yang dah lama nak saksikan penyanyi itu depan mata mereka.

“Istimewanya kali ini, bukan sahaja pada harga tiket malah kami ada menyediakan faedah seperti sesi Meet And Greet bersama Daesung,” katanya.

Konsert Pertama, Harapan Besar

Dalam pada itu, Sufi turut menyifatkan momen ini sebagai detik bersejarah buat syarikatnya kerana ia adalah penganjuran konsert K-pop sulung oleh SAH Entertainment.

Sufi juga berkongsi perancangan masa depan untuk membawa lebih ramai artis Korea ke rantau ini.

“Ini konsert artis K-pop pertama yang kita buat, lagi pula siapa tidak kenal Daesung yang juga salah seorang ahli kumpulan Big Bang.

“Jadi tidak salah untuk kami mencuba anjurkan artis K-pop dan mungkin buat perancangan masa depan akan ada lebih banyak lagi insya-Allah,” jelasnya lagi.

Berkongsi soal harapannya pula, besar impian Sufi semoga para peminat akan pulang dengan hati gembira dan kenangan manis sejurus menonton konsert mega itu nanti.

“Saya cuma berharap peminat-peminat yang hadir nanti bergembira dan berseronok sahaja ketika menyaksikan Daesung menyanyi dan hiburkan mereka.

“Saya juga yakin konsert itu nanti akan berikan mereka satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” ujarnya.

Harga tiket bermula daripada SGD288 bagi tempat duduk VIP, SGD238 (Diamond) dan SGD208 (Platinum). 

Tiket akan mula dijual pada 23 Jun melalui platform SISTIC dan peminat digalakkan untuk mendapatkan tiket lebih awal susulan jangkaan permintaan yang tinggi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
MH