
Dunia hiburan Indonesia kehilangan seorang lagi bintang apabila pelawak dan penyanyi, Nina Carolina atau lebih dikenali sebagai Mpok Alpa, meninggal dunia pagi semalam akibat kanser di usia 38 tahun.
Berita duka itu disahkan suaminya, Ajie Darmaji, yang memaklumkan isterinya menghembuskan nafas terakhir selepas bertahun-tahun berjuang melawan penyakit berkenaan yang dirahsiakan daripada pengetahuan umum.
Pemergian Mpok Alpa turut diumumkan secara langsung menerusi program FYP (For Your Pagi) di stesen televisyen Trans7 oleh pengacara Raffi Ahmad dan Irfan Hakim. Kedua-duanya dilihat tidak dapat menahan sebak ketika menyampaikan berita tersebut kepada penonton.
Sepanjang kerjayanya, Mpok Alpa dikenali dengan perwatakan ceria, celoteh spontan dan loghat Betawi yang menjadi identitinya. Beliau juga aktif dalam program hiburan televisyen serta sering menghiburkan penonton dengan lawak bersahaja.
Allahyarham meninggalkan empat cahaya mata, termasuk pasangan kembar Raffi Ahmad Darmadina dan Raffa Ahmad Darmadina yang dilahirkan pada Oktober tahun lalu.
Kehilangan pelawak popular itu mencetuskan gelombang ucapan takziah daripada rakan artis dan peminat di media sosial. Ramai yang menyifatkan beliau sebagai insan yang baik hati, merendah diri dan sentiasa profesional meskipun berdepan ujian kesihatan.
Jenazah Allahyarham difahamkan dikebumikan di TPU Jakarta pada petang hari yang sama.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan