Categories: Hiburan

Pelakon & Pengarah Filem Uttar Kumar Ditahan Polis, Didakwa Terlibat Kes Rogol

Share

Pelakon dan pembikin filem Haryanvi, Uttar Kumar ditahan pihak berkuasa berhubung tuduhan merogol rakan sekerjanya yang juga seorang wanita berusia 25 tahun selepas berjanji untuk berkahwin dan memberi peluang berlakon dalam filem serta video muzik.

Mangsa mendakwa dia diperdaya sejak Ogos 2020, apabila Kumar menawarkan janji perkahwinan serta watak utama dalam karya arahannya.

Namun janji itu tidak ditunaikan, malah wanita berkenaan turut mendakwa diugut akan dipalukan dan disebarkan rakaman peribadi sekiranya enggan menuruti kehendak pelakon tersebut.

Menurut laporan, aduan awal dibuat di Balai Polis Shalimar Garden pada 24 Jun lalu tetapi tidak didaftarkan. Mangsa kemudian mendapatkan perintah mahkamah untuk membuka siasatan, namun mendakwa keterangan saksinya telah diubah.

Kekecewaan itu menyebabkan wanita berkenaan cuba membunuh diri di luar pejabat Ketua Menteri di Lucknow.

Selepas tekanan awam, pihak polis akhirnya menahan Kumar di rumah ladangnya di Amroha sebelum dibawa ke Ghaziabad. Namun, dia dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Indirapuram.

Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan India berkaitan rogol, Seksyen 506 berkaitan ugutan jenayah serta Akta SC/ST (Pencegahan Kekejaman).

Penahanan Kumar mendapat perhatian meluas kerana beliau merupakan antara wajah popular dalam industri filem Haryanvi dengan beberapa karya yang pernah mencatat kutipan tinggi di pawagam tempatan.

Popularitinya menyebabkan kes ini menjadi bualan hangat di media sosial, malah warganet mendesak agar siasatan dijalankan secara telus tanpa sebarang kompromi.

Peguam mangsa pula menegaskan pihaknya akan memastikan semua bukti dibentangkan di mahkamah termasuk mesej, rakaman dan komunikasi lain yang dipercayai boleh menguatkan kes.

Kes ini dijangka menjadi ujian besar kepada sistem perundangan India dalam menangani isu eksploitasi wanita dalam industri hiburan.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan 

Published by
MFA