
Pelakon filem adaptasi aksi nyata Lilo & Stitch terbitan Disney, David Hekili Kenui Bell, dilaporkan telah meninggal dunia pada usia 46 tahun, menurut kenyataan ahli keluarga dan wakil pengurusannya.
Perkara itu dimaklumkan oleh adik perempuannya, Jolene Kanani Bell menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad lalu.
“Dengan hati yang penuh duka, saya ingin berkongsi bahawa adik lelaki saya yang penyayang, pemurah, berbakat, lucu dan kacak, David H.K. Bell, kini berada di sisi Tuhan,” tulisnya.
Tambahnya lagi, pemergian Bell diumumkan bertepatan dengan buletin Hari Bapa yang telah dijadualkan lebih awal sebagai penghormatan kepada lelaki-lelaki penting dalam kehidupan mereka.
Tiada punca kematian didedahkan setakat ini.
Menurut Jolene, meskipun mereka dibesarkan tanpa figura seorang bapa, David sentiasa memberikan kasih sayang tanpa syarat kepada dirinya dan seluruh keluarga.
“Dia sangat rapat dan penyayang terhadap anak-anak saudara dan cucu saudaranya,” katanya.
David yang meminati bidang lakonan dan kerja suara latar, baru sahaja meraih kejayaan besar menerusi filem Lilo & Stitch, di mana beliau memegang watak sebagai Big Hawaiian Dude.
“Dia amat teruja apabila berjaya muncul di layar perak dengan detik ikonik dalam Lilo & Stitch. Malah, beliau membeli tempat duduk terbaik untuk kami semua semasa tayangan perdana dua minggu lalu di Kapolei,” kata Jolene.
Mereka turut meraikan tayangan tersebut bersama para peminat yang hadir lengkap dengan barangan Lilo & Stitch, dan kemudiannya menikmati ais kisar sebagai simbolik sambutan.
“Hari terakhir kami bersama hanya di ruang tamu, berbual tentang kehidupan, minum air berkarbonat dan berbicara tentang salasilah keluarga. Ia satu kenangan yang saya akan kenang sepanjang hayat,” tulisnya lagi.
Dalam pada itu, agensi pengurusan David, Bliss Models and Talent turut mengeluarkan kenyataan bagi mengucapkan takziah kepada keluarga pelakon tersebut.
“David merupakan insan luar biasa yang membawa cahaya dan semangat murni kepada sesiapa sahaja yang mengenalinya,” ujar pemilik agensi, Lashauna Downie.
“Kami mengucapkan simpati yang mendalam kepada ohana beliau dan menghormati privasi mereka ketika tempoh berkabung ini. Legasi dan semangat aloha beliau akan terus hidup dalam hati semua yang mengenalinya. A hui hou, hingga kita bertemu lagi.”
Selain Lilo & Stitch, David turut dikenali menerusi penampilan dalam beberapa siri televisyen popular termasuklah Hawaii Five-0 pada 2014 dan Magnum P.I. pada 2018 dan 2019.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan