Categories: Hiburan

Pelakon Legenda Bollywood Dharmendra Deol Meninggal Dunia Pada Usia 89 Tahun

Share

Dharmendra Deol, salah seorang tokoh seni paling berpengaruh dalam industri perfileman India, meninggal dunia di kediamannya di Mumbai pada usia 89 tahun.

Media tempatan melaporkan bahawa beliau mengalami masalah kesihatan sejak sebulan lalu sebelum disahkan meninggal dunia di rumah.

Dharmendra diiktiraf sebagai antara mega bintang Bollywood dan dianggap lambang hero dalam sinema arus perdana.

Sepanjang lebih enam dekad kariernya, Dharmendra membintangi lebih 300 filem merangkumi genre lakonan yang luas daripada filem seni, drama romantik, aksi hingga komedi.

Dilahirkan di Punjab pada 1935, perjalanan seni Dharmendra bermula selepas memenangi pertandingan bakat anjuran sebuah majalah filem, sebelum berhijrah ke Mumbai dan debut dalam filem pertamanya pada 1960.

Antara karya paling ikonik lakonannya ialah Sholay (1975), sebuah filem kultus yang sehingga kini dianggap antara produksi paling berpengaruh dalam sejarah Bollywood.

Watak yang dibawanya terus menjadi rujukan dalam budaya popular India, bahkan kembali tular sebagai meme pada era digital.

Dalam kehidupan peribadi, Dharmendra berkahwin dengan isteri pertamanya, Prakash Kaur, sebelum meraih kemasyhuran dalam industri. Pada 1980, beliau kemudiannya mengahwini pelakon tersohor Hema Malini tanpa menceraikan Prakash, sesuatu yang pernah menarik perhatian umum.

Selain dunia lakonan, Dharmendra turut terlibat dalam bidang politik dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen India dari 2004 hingga 2009.

Pemergiannya turut mendapat reaksi kepimpinan tertinggi India termasuk Perdana Menteri Narendra Modi dan Presiden Draupadi Murmu yang menyampaikan ucapan takziah.

Dharmendra dilihat sebagai personaliti filem yang meninggalkan kesan mendalam, dengan keupayaan membawa pesona serta kedalaman dalam setiap watak yang diterjemahkan di layar.

Kehebatan bakatnya diteruskan oleh tiga anaknya yang turut bergelar pelakon terkenal Bollywood iaitu Sunny Deol, Bobby Deol dan Esha Deol.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan 

Published by
MFA