
Dunia hiburan Korea Selatan dikejutkan dengan laporan polis membabitkan pelakon popular, Lee Ji-hoon, selepas isterinya mendakwa dirinya dipukul dalam satu pertengkaran di kediaman mereka di Bucheon, bulan lalu.
Menurut laporan media tempatan, kejadian itu berlaku pada 24 Julai apabila pasangan tersebut terlibat dalam pertengkaran rumah tangga.
Difahamkan, insiden bermula apabila isteri aktor itu cuba menghalang Lee Ji-hoon daripada keluar rumah selepas berlaku salah faham, sebelum keadaan menjadi tegang sehingga mencetuskan tindakan fizikal.
Pihak polis yang menerima panggilan kecemasan membuka kertas siasatan di bawah dakwaan keganasan rumah tangga.
Namun, hasil siasatan awal mendapati insiden tersebut tidak dikategorikan sebagai kes serius kerana tiada kecederaan berat dan mangsa sendiri tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang.
Agensi pengurusan Lee Ji-hoon, Y.ONE Entertainment, mengesahkan aktor berusia 45 tahun itu merupakan individu yang dimaksudkan dalam laporan media.
Walau bagaimanapun, agensi menegaskan bahawa isu berkenaan tidak boleh ditafsirkan sebagai serangan fizikal berat.
“Isteri Lee Ji-hoon sendiri tidak mahu memanjangkan isu ini ke saluran undang-undang. Kedua-duanya kini sedang berehat dan bermuhasabah diri mengenai apa yang berlaku,” jelas kenyataan rasmi agensi itu.
Sehubungan itu, polis memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan lanjut dan menganggapnya sebagai pertengkaran domestik biasa tanpa unsur jenayah berat.
Lee Ji-hoon, yang dikenali menerusi lakonannya dalam beberapa drama popular Korea Selatan termasuk Legend of the Patriots dan You Are My Destiny, sebelum ini mempunyai imej bersih tanpa kontroversi besar. Justeru, insiden ini mengejutkan peminat serta masyarakat hiburan di negara berkenaan.
Setakat ini, pasangan itu memilih untuk tidak membuat sebarang kenyataan peribadi kepada umum.
Namun, isu keganasan rumah tangga yang dikaitkan dengan selebriti berprofil tinggi ini mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen di Korea Selatan.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan