Hiburan

Pelakon Dan Penyanyi Veteran Isma Aliff Meninggal Dunia Pada Usia 61 Tahun

Share

Pelakon dan penyanyi veteran, Isma Aliff, disahkan meninggal dunia hari ini, Rabu, kira-kira pukul 8.30 pagi di kediamannya di Kampung Melayu Ampang, Selangor.

Pemergian Allahyarham disahkan oleh adiknya yang dikenali sebagai Angah, yang memaklumkan Isma Aliff atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail menghembuskan nafas terakhir pada usia 61 tahun.

Beliau turut memaklumkan bahawa Allahyarham telah lama menderita sakit dan keadaan kesihatannya dilaporkan semakin merosot sejak seminggu kebelakangan ini.

Imbas kembali, Allahyarham pernah terkena serangan angin ahmar pada tahun 2023.

Album Kembara Duka nyanyian Isma Aliff

Memulakan kerjaya sekitar tahun 1980-an, Isma Aliff pernah membintangi beberapa filem popular seperti Mawar Merah, Marah Marah Sayang dan Kembar Siam.

Selain itu Allahyarham juga pernah merakamkan beberapa buah album bertajuk Eksyen Saja, Dengar Tau, Kembara Duka dan Macam-Macam Ada.

Sebagai bintang veteran berpengalaman luas, Allahyarham pernah duduk di kerusi juri tetap bagi rancangan realiti popular iaitu Raja Lawak musim ketujuh pada tahun 2013.

Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan kepada dunia seni tanah air, khususnya dalam bidang lakonan dan nyanyian.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA