
Pelakon popular Korea Selatan, Lee Si-young mengumumkan bahawa beliau kini sedang hamil anak kedua meskipun telah berpisah dengan suaminya, usahawan restoran, Cho Seong-hyun, awal tahun ini.
Menerusi satu hantaran di Instagram pada 8 Julai lalu, pelakon berusia 43 tahun itu berkongsi berita mengejutkan tersebut, beberapa bulan selepas mengesahkan penceraian mereka yang difailkan di Mahkamah Keluarga Seoul pada Mac.
Lee dan Cho berkahwin pada September 2017 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jung-yoon yang dilahirkan pada Januari 2018.
Menurut Lee, kehamilan kali ini adalah hasil rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) yang dilakukan ketika masih bergelar isteri.
Bagaimanapun, embrio yang telah disenyawakan tidak terus dimasukkan ke rahim dan hanya dipertimbangkan selepas proses perceraian dimuktamadkan kerana tempoh penyimpanan embrio hampir tamat.
“Saya memang mengimpikan untuk mempunyai anak lagi. Saya tidak mahu mengulangi penyesalan yang saya rasai ketika mengandungkan Jung-yoon. Saya tidak sanggup membuang embrio itu apabila masanya hampir tamat,” katanya yang turut mengakui keputusan tersebut dibuat tanpa persetujuan bekas suaminya.
Tambahnya, kehadiran anak pertamanya memberi kekuatan untuk melalui perkahwinan yang sukar, selain menjadi sumber harapan dan inspirasi dalam hidupnya.
“Saya tahu banyak cabaran yang menanti. Saya pernah bimbang dengan pelbagai kemungkinan, tetapi saya percaya pilihan ini ada maknanya,” ujarnya.
Sementara itu, Cho ketika dihubungi media Korea Selatan, Dispatch, mengakui pada awalnya tidak bersetuju dengan keputusan Lee namun berjanji akan memainkan peranannya sebagai bapa.
“Kami masih berkomunikasi demi anak pertama kami. Kami akan berbincang dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam menyambut dan membesarkan anak kedua ini,” katanya.
Dalam perkembangan terkini, hantaran yang dibuat Lee Si-young telah dipadamkan setelah mendapat kecaman hebat apabila fakta bahawa proses implantasi in-vitro dilakukan tanpa persetujuan bekas suaminya menjadi perdebatan umum melibatkan isu undang-undang dan bioetika.
Pakar-pakar turut membangkitkan persoalan mengenai hak pemilikan embrio, prosedur pengiktirafan anak serta tanggungjawab penjagaan dan hak jagaan selepas kelahiran.
Sekadar info, Lee Si-young mula mencipta nama dalam industri hiburan pada 2008 dan melonjak popular menerusi drama Boys Over Flowers serta rancangan realiti We Got Married pada tahun berikutnya.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan