Hiburan

Pelakon Anrez Adelio Berdepan Ancaman Hukuman Penjara Sehingga 12 Tahun

Share

Pelakon Indonesia, Anrez Adelio, kini berdepan ancaman hukuman penjara sehingga 12 tahun selepas dilaporkan kepada pihak berkuasa atas dakwaan terbabit dalam kes kekerasan seksual.

Berdasarkan laporan, Anrez dilaporkan ke Polda Metro Jaya oleh seorang wanita dikenali sebagai Friceilda Prillea yang juga didakwa bekas kekasihnya. Laporan polis itu dibuat pada 29 Disember lalu dan kes disiasat mengikut peruntukan Undang-Undang Tindak Pidana Kekerasan Seksual (UU TPKS).

Menurut pihak peguam mangsa, laporan berkenaan dibuat susulan dakwaan wujud unsur paksaan, manipulasi emosi serta janji perkahwinan yang tidak ditepati, sehingga menyebabkan mangsa mengalami tekanan dan trauma berpanjangan. Beberapa bahan bukti turut diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Insert Live melaporkan, antara bukti yang dikemukakan termasuk perbualan mesej, dokumen bertulis serta laporan perubatan yang dikaitkan dengan keadaan mangsa ketika ini. Pihak peguam mangsa turut memaklumkan bahawa kliennya kini sedang hamil dan mendakwa kehamilan tersebut hasil hubungan bersama Anrez.

Friceilda Prillea

BACA JUGA: Anrez Adelio Didakwa Hamili Kekasih, Gagal Tunai Janji Untuk Bertanggungjawab

Sekiranya disabitkan kesalahan di bawah peruntukan UU TPKS, Anrez boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sehingga 12 tahun, selain denda mengikut pertimbangan mahkamah. Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang keputusan muktamad dicapai dan kes masih dalam peringkat siasatan awal oleh pihak berkuasa.

Dalam perkembangan sama, Anrez masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi menjawab dakwaan yang dikemukakan terhadapnya. Pihak polis juga menegaskan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan adil sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Sekadar makluman, Anrez Adelio yang mempunyai 1.4 juta pengikut di Instagram merupakan antara pelakon sinetron Indonesia yang cukup dikenali. Pada usia 28 tahun, beliau telah menceburi dunia lakonan sejak 2014 dan berjaya membina nama menerusi pelbagai naskhah popular.

Antara karya lakonannya yang pernah mencuri perhatian penonton termasuk Rindu Tak Berujung, Cinta Cinderella, Pacarku Jinny, Setinggi Bintang di Langit serta Rahasia & Cinta, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam industri hiburan tanah seberang.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA