Uncategorized

“Pedulikan Apa Mereka Kata,” – Reyhana Yunus Syukur Rezeki Perjalanan Seni Walau Ada Yang Kritik ‘Sendu’, Bertahan Walau Diuji!

Share

“Alhamdulillah, saya masih di sini, walau berdepan cabaran dan onak duri sepanjang bergelar anak seni.”

Demikian ujar penyanyi Reyhana Yunus ketika diminta mengulas mengenai jatuh bangun perjalanan seninya selepas bakatnya dicungkil menerusi program Bintang RTM pada tahun 2007 lalu.

Reyhana yang popular dengan lagu Kau Cemburu itu tetap yakin dengan aturan rezeki dan meluahkan rasa syukur kerana masih menerima undangan persembahan, meskipun jarang tampil di kaca televisyen.

“Syukur, masih ada mereka yang hargai dan percaya dengan bakat saya untuk menghiburkan tetamu di mana-mana majlis.

“Terbaharu, saya kini berbabit untuk membuat persembahan dalam beberapa tarikh terpilih sepanjang kempen bufet Ramadan ‘Kembali Ke Dapur Nenda 2026’ di Kelab Rahman Putera.

“Saya ambil cabaran buat pertama kali menyampaikan rangkaian lagu-lagu keroncong dan ghazal secara langsung pada sesi itu nanti. Syukur masih ada rezeki walau di bulan Ramadan,” katanya.

Mengulas mengenai kritikan atau sindiran segelintir netizen yang melabelnya sebagai ‘sendu’ atau tidak lagi popular, Reyhana menyifatkan perkara tersebut sebagai lumrah dunia digital kini, apabila segala pandangan berada di hujung jari.

“Mereka boleh kata apa sahaja, sama ada yang baik atau sebaliknya. Namun pada akhirnya, hanya kita yang tahu apa yang terbaik untuk kita.

“Pedulikan apa yang mereka nak kata, bukan mereka yang beri kita rezeki, teruskan berdoa pada Dia dan tetap berusaha, insya-Allah akan ada jalannya. Tiada istilah putus asa bagi diri saya,” katanya lagi.

Kemeriahan ‘Kembali Ke Dapur Nenda 2026’ & Elemen Kebajikan

Sementara itu, kempen bufet Ramadan ‘Kembali Ke Dapur Nenda 2026’ dianjurkan dengan skala lebih besar serta suntikan nafas baharu.

Selain menampilkan kepelbagaian juadah istimewa, penganjuran kali ini turut memberi penekanan kepada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menurut wakil penganjur dari 211 Event Empire

, Puan Eisma Eaiza Mansor, konsep pelancaran kali ini diadakan dengan suasana yang lebih meriah dan tersusun.

“Sebelum ini kami adakan kecil-kecilan sahaja jadi tahun ini lebih besar dan lokasinya juga lebih strategik selain kemudahan parkir dan ruang solat yang lebih besar. Jadi ia memudahkan pelanggan untuk iftar dan terawih,” katanya.

Dari aspek sajian berbuka puasa pula, pengunjung bakal menikmati variasi menu yang berubah setiap hari bagi memberikan pengalaman berbeza sepanjang Ramadan.

Antara hidangan utama yang disediakan termasuk kambing bakar, laksa, aneka lauk kampung, kuih tradisional serta Chocolate Fountain sebagai pencuci mulut istimewa.

“Setakat ini kita tawarkan kira-kira 154 jenis menu dan minuman. Insya-Allah kalau ada rezeki sajian kita akan ditambah dan begitulah seterusnya,” jelasnya lagi.

Mengambil keberkatan Ramadan, penganjuran ‘Kembali Ke Dapur Nenda 2026’ bukan sekadar menumpukan kepada juadah berbuka, malah turut mengangkat elemen kebajikan menerusi sesi penyerahan cek daripada wakil penaja sebagai sebahagian daripada inisiatif CSR.

“Sesi penyerahan cek sebagai salah satu inesiatif untuk memberi penghargaan kepada penaja dan ia adalah sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami bersama organisasi terlibat.

“Sumbangan akan disalurkan kepada Rumah kebajikan, golongan asnaf dan ibu tunggal terpilih dan pada hari pelancaran ini juga, kami turut jemput 200 anak-anak tahfiz bersama ibu bapa.

“Harapan saya semoga iftar tahun 2026 ini lebih meriah dan kami juga berhasrat untuk menerajui iftar Ramadan untuk tahun yang seterusnya bergantung kepada sambutan yang memberangsangkan,” katanya lagi.

Pakej yang ditawarkan bermula dengan RM60.00/pax untuk kanak-kanak dan warga emas 60 tahun ke atas, RM90.00/pax (Early Bird) dan RM129.90/pax (Dewasa).

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH