
Penyanyi dan komposer, Andi Bernadee, kembali memikat peminat dengan single terbaharunya berjudul Siapakah Namamu, sebuah lagu yang mengangkat kisah indah pertemuan cinta yang tidak dijangka.
Lagu ini merupakan hasil kolaborasi mantap antara Andi, Kuizz, dan The T, dengan Kuizz bertindak sebagai penyusun muzik dan penerbit utama.
Menurut Andi, karya ini membawa pendengar menyelami detik pertama jatuh cinta iaitu saat hati terpaut hanya pada satu pandangan dan timbul keinginan untuk mengenali insan yang mempesona.
“Lagu ini menceritakan tentang seseorang yang menunggu kehadiran cinta.
‘Akhirnya, cinta itu hadir di depan mata, mempesona dengan wajah ayu, cantik, dan jelita, lalu timbul keinginan untuk berkenalan,” ujar Andi.
Idea asal lagu ini tercetus apabila Andi menerima melodi daripada The T. Melodi tersebut serta-merta menangkap perhatiannya dan memberikan inspirasi untuk mencipta sesuatu yang berbeza dalam kerjaya seninya.
“Saya tertarik dengan melodinya dan merasakan ada sesuatu yang istimewa. Sebelum ini, saya belum pernah mempunyai rentak seperti ini dalam discography saya,” jelasnya lagi.
Bukan sekadar menyanyi, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, turut terlibat dalam penulisan lirik bagi menambahkan elemen peribadi yang mencerminkan dirinya dalam lagu ini.
“Saya mahu menyuntik elemen yang mencerminkan diri saya agar lagu ini benar-benar dekat di hati,” tambahnya.
Walaupun proses rakaman berjalan lancar dan tidak mengambil masa panjang, Andi mengakui lagu ini menuntut ketelitian teknikal dari sudut vokal.
“Melodinya kedengaran mudah, tetapi sebenarnya ia memerlukan kawalan vokal pada bahagian melodi yang naik dan turun. Keunikan melodi inilah yang menjadi kekuatan lagu ini,” katanya.
Malah Andi turut memuji komitmen rakan kolaborasi yang menjadi tulang belakang kejayaan lagu ini.
“Mereka adalah orang-orang kuat di sebalik lagu ini. Saya berterima kasih kerana mereka menjalankan tugas dengan baik.
“Tidak ada masalah untuk saya bekerjasama lagi dengan mereka pada masa akan datang,” katanya lagi.
Andi turut menjelaskan, lagu ini tidak perlu ditafsir terlalu dalam, sebaliknya cukup untuk dinikmati secara jujur oleh mereka yang sedang dalam fasa mengenali cinta baru.
“Pasang saja lagu ini ketika anda sedang dilamun cinta dengan seseorang yang baru anda kenali. Anda akan faham perasaannya,” ujarnya.
Siapakah Namamu boleh dinikmati di semua platform penstriman digital utama bermula 15 Ogos 2025, dan muzik video rasmi akan ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Andi Bernadee.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini