Categories: Berita Hiburan

“Pada Awal Hanya Bertanya, Bergurau…,” – Peminat Hulur RM1 Pun Jadi! Mohd Mentor & Zwen Superchild Kumpul RM600, Rakam Lagu Raya Baharu

Share

Tampil dengan sebuah lagu raya berjudul Huru Hara Raya, gabungan penyanyi Mohd Mentor dan Zwen Superchild menjadikannya sebagai satu hadiah khas buat peminat yang sentiasa memberi sokongan kepada mereka.

Menurut Mohd atau Mohamad Izwan Mohamad Nor, 37, karya tersebut menjadi lebih istimewa apabila peminat sendiri tampil memberi sumbangan bagi membantu mereka memulakan proses rakaman.

Segalanya bermula daripada sekadar perbualan secara berseloroh di media sosial.

Namun, Mohd sendiri tidak menyangka masih ramai yang mempercayai bakatnya untuk terus menghasilkan karya baharu.

“Pada awalnya saya hanya bertanya pendapat dan sekadar bergurau meminta sumbangan jika mereka masih mahu saya merakamkan lagu baru. Tak sangka ramai yang menghantar mesej memberi sokongan.

“Malah ada yang transfer RM1 sebagai tanda sokongan. Bermula dari situlah datangnya semula semangat untuk merakam lagu raya ini.

“Apabila peminat sudah memberi kepercayaan, saya tidak mahu menghampakan harapan mereka. Jadi mahu atau tidak, saya kena siapkan lagu ini,” katanya.

Selepas itu, Mohd menghubungi Zwen yang turut mempunyai idea sama untuk kembali tampil menghiburkan peminat.

Secara keseluruhan, Mohd dan Zwen berjaya mengumpul sekitar RM607.50 hasil sumbangan peminat yang mengikuti mereka di media sosial.

Proses Rakaman Cepat, Karya Unsur Komedi

Dalam masa sama, mereka turut meluahkan rasa syukur apabila beberapa pihak penaja tampil memberikan kerjasama bagi menampung kos rakaman, termasuk pembikinan muzik video.

Tanpa berfikir panjang, Zwen yang juga seorang komposer segera mencari idea baharu sebelum memulakan proses rakaman dalam tempoh singkat.

“Proses menyiapkan lagu ini sangat cepat. Selepas berbincang dengan Mohd, saya mencari idea untuk tampil dengan sesuatu yang berbeza. Kalau sebelum ini saya lebih banyak menghasilkan lagu ‘jiwang’ dan ketuhanan kali ini kami bawakan unsur komedi.

“Kami juga mendapat kerjasama beberapa personaliti media sosial untuk sama-sama terlibat dalam lagu ini. Mungkin nama kami orang dah lupa, jadi kerjasama ini dapat bantu promosi lagu,” ujarnya.

Antara personaliti media sosial yang turut terlibat dalam lagu tersebut ialah Amir Lala, Syiqin Zaidi, Unoo Yuno, Hakak Karipap dan Ayieb Ismail.

Menurut Zwen lagi, lagu raya ini juga menjadi tanda bahawa dia dan Mohd mahu kembali serius menghasilkan karya baharu sepanjang tahun ini.

“Sebelum ini lagu Janjinya Syurga dikenali ramai, namun orang masih kurang mengenali nama Zwen. Jadi dengan adanya lagu raya ini, saya harap lebih ramai sedar akan kehadiran saya dalam industri ini.

“Memang saya banyak terlibat dengan kerja di belakang tabir, namun minat dalam nyanyian tidak pernah padam. Sebab itu saya rasa perlu ada lagu baru.

“Saya dan Mohd juga sudah merancang untuk terus merakam lagu selepas ini. Kalau boleh, kami mahu terus mencari peluang agar bakat dan karya saya mendapat perhatian ramai,” luahnya.

Untuk info, lagu Huru Hara Raya dicipta bersama oleh Zwen dan Mohd serta muzik video lagu tersebut mula ditayangkan di saluran YouTube Havana Hunana Music pada 6 Mac.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH