
Anugerah Akademi ke-98 (Oscar) yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat, siang tadi menyaksikan malam penuh gemilang buat filem One Battle After Another apabila muncul sebagai pemenang terbesar seterusnya membawa pulang trofi Filem Terbaik.
Filem arahan Paul Thomas Anderson itu turut memenangi beberapa kategori lain termasuk Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Adaptasi Terbaik, sekali gus menjadikannya antara karya paling dominan pada malam berprestij itu.
Sementara itu, aktor, Michael B. Jordan dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Sinners, manakala Jessie Buckley meraih Pelakon Wanita Terbaik hasil persembahannya dalam Hamnet.
Dalam ucapannya, Jordan memberi penghormatan kepada generasi pelakon terdahulu yang membuka laluan kepada bakat baharu sepertinya di Hollywood.
“Saya berdiri di sini kerana mereka yang datang sebelum saya seperti Danzel Washington, Sidney Poitier, Halle Berry, Will Smith dan ramai lagi.
“Terima kasih kerana menyokong saya selama ini. Saya dapat rasakannya. Saya tahu anda semua mahukan saya menjadi yang terbaik. Terima kasih kerana mempertaruhkan saya,” katanya ketika di atas pentas.
Dalam masa sama, pelakon veteran Amy Madigan mencipta momen emosional apabila memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Weapons, lebih 40 tahun selepas pencalonan pertamanya di Oscar.
Kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pula menjadi milik Sean Penn menerusi lakonannya dalam One Battle After Another, sekali gus menambah koleksi kemenangan Oscar dalam kerjayanya.
Selain itu, filem animasi KPop Demon Hunters turut mencuri perhatian apabila memenangi kategori Filem Animasi Terbaik dan Lagu Asal Terbaik.
Anugerah Akademi ke-98 turut mengulangi sejarah apabila dua filem, The Singers dan Two People Exchanging Saliva diumumkan sebagai pemenang bersama untuk kategori Filem Pendek Aksi Langsung Terbaik.
Kedua-dua filem ini meraih markah yang sama hasil penilain juri sekali gus mengulangi sejarah yang jarang berlaku dalam tempoh lebih sedekad.
Oscar tahun ini dihoskan oleh pengacara terkenal Conan O’Brien.
Acara berprestij itu turut menghimpunkan barisan penggiat industri filem dari seluruh dunia bagi meraikan karya terbaik yang ditayangkan sepanjang tahun lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Kredit Foto: Instagram Complex, Just Jared & The Today Show