
Jenama pencuci mulut tempatan, Kunafa Aiwahhh memilih usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri sekeluarga sebagai duta jenama berkenaan sempena pelancaran perisa terbaharu berasaskan buah-buahan iaitu Mangga Lima.
Menurut pengarah Aiwahhh Global Sdn. Bhd. yang juga pempengaruh, Mohd Ruzain Ahda Mohd Rosli atau lebih dikenali sebagai Ojen Aiwahhh, pemilihan Aliff Syukri dianggap tepat kerana ahli perniagaan itu cukup sinonim dengan produk berasaskan buah mangga.
“Aliff Syukri popular dengan jeruk mangga, jadi gandingan antara beliau dan produk terbaharu, Kunafa Mangga Lima sangat serasi.
“Sebenarnya, kami sahabat lama dan beliau yang mencadangkan untuk saya mengeluarkan kunafa perisa mangga memandangkan di Malaysia ramai peminat buah mangga.
“Beliau menunjukkan bukti jualan jeruk mangga yang mencecah jutaan ringgit sebulan, jadi saya yakin bahawa kunafa berasaskan buah mangga memiliki potensi yang besar,” ujar Ojen.
Bagaimanapun, bukan mudah untuk Aliff Syukri bersetuju memandangkan dirinya yang belum pernah menjadi duta produk makanan sebelum ini.
“Aliff Syukri sekeluarga merupakan duta Kunafa Aiwahhh paling mahal pernah saya bayar. Walaupun bayarannya mahal, beliau sangat komited dan memberi komitmen seratus peratus.
“Bahkan sebelum bersetuju, beliau meletakkan syarat untuk Kunafa Mangga Lima harus melepasi piawaian tekaknya terlebih dahulu kerana mereka sekeluarga memang pelanggan Kunafa Aiwahhh.
“Alhamdulillah, selepas merasai sendiri, beliau terus memberikan persetujuan,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Aliff Syukri mendedahkan dia menerima tawaran menjadi duta kerana yakin dengan kualiti produk selain bayaran lumayan.
“Saya rasa tiada siapa yang mampu bayar saya untuk jadi duta produk seperti Ojen, sebab saya sendiri sudah kaya raya.
“Tetapi walaupun kami adalah sahabat lama, kerja tetap kerja. Mulanya dia agak terkejut dengan harga yang saya tetapkan, tetapi akhirnya bersetuju kerana saya datang dengan pakej satu keluarga.
Kunafa Mangga Lima sedap, bayarannya pun sedap jadi saya terima,” kata Aliff.
Tambahnya lagi, kolaborasi ini memberi keuntungan bersama memandangkan kedua-duanya mempunyai produk berasaskan mangga serta pengikut dari kelompok usia berbeza.
Kerjasama ini turut menampilkan keluarga Aliff Syukri termasuk isteri, Datin Seri Nur Shahida serta anak-anaknya, Ammar Ahyyan, Qadejah El Zahra dan Ibraheem Adham
.“Saya banyak terima tawaran untuk jadi duta dan kolaborasi bersama banyak jenama, tetapi saya tolak kerana selain sibuk, mereka tidak mampu untuk bayar saya.
“Kebanyakan jenama hanya mahu menumpang populariti saya dan menarik perhatian pengikut saya yang kebanyakan berusia 40-an dan ke atas.
“Bersama Ojen berbeza, selain mampu bayar saya, dia sendiri sudah popular dan mempunyai ramai pengikut dalam kalangan gen Z.
“Pengikut dia kebanyakan orang muda, jadi kerjasama ini kami saling menumpang antara satu sama lain. Jadi, saya tidaklah rasa seperti dipergunakan, sebab saya pun mempergunakan dia,” selorohnya lagi.
Kunafa Mangga Lima menampilkan kombinasi unik bahan premium seperti mangga segar, buah delima, daun pudina, safron dan keju.
Ia kini menjadi perisa kesembilan Kunafa Aiwahhh, dijual pada harga RM45 dan boleh didapati di Havoc Food Festival di Stadium Shah Alam dari 27 hingga 31 Ogos ini.
Selain itu, jenama ini turut terkenal dengan pelbagai perisa menarik lain antaranya Original, Red Velvet, Oreo, Hazelnut Nutella, Biscoff, Dark Indulgence, Madu Tiga dan Lumut Cheese.
Ditubuhkan pada penghujung 2021, Kunafa Aiwahhh telah dikenali sebagai “King of Food Festival Malaysia”selain hanya boleh didapati secara offline di Food Festival di seluruh Malaysia.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini