
Pelakon dan penyanyi popular, Ayda Jebat meluahkan rasa terkilan terhadap sikap segelintir pihak yang gemar mempermainkan nama bapanya secara terbuka di khalayak ramai.
Menurut Ayda, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia melibatkan nama sebenar dan maruah keluarganya.
Namun gurauan seperti itu seolah-olah telah menjadi kebiasaan sehingga ramai tidak menyedari ia sebenarnya boleh menyinggung perasaan.
“Tak tahu perlu ambil hati ke tak? Kadang bila pakcik dan makcik cakap ‘Oh, inilah Ayda Jebat! Anak si Jebat derhaka tu!’ sambil gelak-gelak.
“Eh, itukan nama bapa saya! Orang tu tengah struggle nak baik daripada strok, pakcik dan makcik main-mainkan nama dia,” tulisnya.
Luahan itu dikongsikan penyanyi lagu Pencuri Hati itu menerusi sebuah hantaran di Instagram miliknya baru-baru ini.
Menurut Ayda lagi, meskipun hatinya tersentuh, dia memilih untuk tenang dan menghormati orang yang lebih tua, walaupun gurauan itu datang pada waktu yang cukup bermakna buatnya.
“Okay baik, sebab orang tua, kita kena terima sahajalah kan? Senyum sahajalah. Saya sahaja je kongsi perkara ini sebab hari ini hari lahir papa.
“Dan baru sahaja kejadian itu berlaku semalam,” kongsinya lagi.
Sebelum ini, Ayda dilihat jarang berkongsi mengenai keadaan kesihatan bapanya yang kini masih dalam proses pemulihan selepas diserang penyakit angin ahmar (strok).
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini