
Mengangkat obesiti sebagai isu kesihatan serius, program didik hibur My Body My Life tampil membahaskan pelbagai topik berkaitan komplikasi perubatan akibat penyakit berkenaan, demi manfaat lebih besar buat penonton.
Disiarkan setiap Ahad, jam 6.30 petang bermula 5 Oktober menerusi saluran TVS 122 MYTV, unifi TV dan Astro, program ini memberi fokus mengupas isu-isu kesihatan yang sering dikaitkan dengan masalah obesiti.
Menurut penerbitnya, Sherry Sidek, My Body My Life membawa penonton menyelami pelbagai komplikasi perubatan berpunca daripada berat badan berlebihan.
“Setiap minggu dalam My Body My Life, kami membincangkan topik berbeza mengenai keadaan perubatan akibat obesiti, agar penonton benar-benar memahami punca serta perkembangannya.
“Paling penting, kami mahu membimbing penonton mengenai tempat mendapatkan rawatan sewajarnya.
“Kami bukan sekadar mahu mendedahkan masalah tetapi menunjukkan jalan penyelesaian yang betul.
“Bagi mencapai matlamat ini, kami akan pastikan wujud keseimbangan yang tepat. Kami memaparkan pesakit sebenar dengan kisah yang menyentuh hati di samping pakar,” katanya
Program 13 episod ini menghimpunkan 30 pakar dari 19 hospital dengan perkongsian ilmu mendalam tentang obesiti.
Ia termasuk Dr. Mustafa Mohammed Taher Al-Khafaji, Datuk Dr. Zanariah Hussein, Dr. Mohammad Ihab Ismail, Dr. Haliza Kamarudin, Dr. Kamarulzaman M. S. Kadir, Prof. Dr. Mohamed Faisal Abdul Hamid, Dr. Norizan Othman dan ramai lagi.
Sherry menjelaskan, pakar-pakar tersebut memberikan penjelasan yang jelas dan sahih supaya penonton memahami kesan terhadap kehidupan sebenar.
Sebagai penerbit, dia amat menitikberatkan kepercayaan pesakit serta tanggungjawab penyampaian maklumat tepat.
“Apabila pesakit berkongsi perjalanan mereka, dia meletakkan kepercayaan kepada kami. Program ini juga mesti menyampaikan maklumat fakta yang kukuh dan boleh dipercayai penonton.
“Sebab itulah kami bekerjasama rapat dengan pelbagai pakar. Setiap seorang daripada dia sangat dihormati dalam bidang kepakaran masing-masing.
“Ini bagi memastikan maklumat yang kami sampaikan adalah tepat, boleh dipercayai, serta disokong sepenuhnya oleh autoriti perubatan yang sahih dan berkelayakan,” katanya lagi.
Menariknya juga, My Body My Life menampilkan hos Dr. Nisa Nabila, 30, seorang pengamal perubatan dalam pengkhususan penurunan berat badan, perubatan bariatrik, kesihatan metabolik dan kesejahteraan gaya hidup.
Bertugas di Pusat Perubatan Cengild, Dr. Nisa sedar peranan besarnya dalam mendidik masyarakat namun tetap mahu bersikap natural di depan kamera.
“Saya memastikan penyampaian ringkas, menggunakan bahasa seharian, memberi penerangan dengan cara bersembang. Saya bercerita, berjenaka, dan beri contoh kisah sebenar supaya tidak terasa kekok.
“Paling penting, saya menjadi diri-sendiri sebagaimana mengendali dan uruskan pesakit saya. Ini kerana nasihat kesihatan yang baik bukan sahaja harus menyentuh minda, tetapi juga hati,” katanya.
Sepanjang 13 episod ini, terdapat satu topik yang sangat meninggalkan kesan peribadi buat dirinya iaitu isu ketidaksuburan, yang sering tidak dibincangkan secara terbuka.
“Saya bertemu ramai individu luar biasa sepanjang penggambaran dan setiap cerita meninggalkan kesan tersendiri. Tetapi episod paling menyentuh saya secara mendalam adalah episod mengenai ketidaksuburan.
“Di jabatan saya sekarang, kami bekerja rapat dengan pesakit obesiti memerlukan pembedahan penurunan berat badan. Ramai mungkin tidak sedar obesiti berkait rapat dengan ketidaksuburan.
“Saya sudah biasa melihat ramai pasangan berusaha timang zuriat yang sering kali keletihan selepas bertahun-tahun menjalani rawatan. Tanpa disedari, berat badan adalah punca utama kekangan itu,”katanya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini