Categories: Hiburan

Nora Ariffin Ulas Isu Hijab Anak, Ajak Fokus Pada Gaza – “Kami Ambil Maklum Segala Teguran Baik Dan Membina.”

Share

Penyanyi, Datuk Nora Ariffin tampil memberikan reaksi susulan keputusan anaknya, Putri Dahlia, yang kini memilih untuk tidak lagi berhijab.

Menurut Nora, Dahlia sudah cukup matang untuk membuat keputusannya sendiri dan sebagai ibu, dia sentiasa mendoakan yang terbaik.

“Sebagai seorang ibu, saya sentiasa mendoakan yang terbaik. Umur Dahlia juga sudah mencecah 21 tahun.

“Saya yakin dia seorang anak yang baik dan belajar ilmu agama yang cukup. Insya-Allah, dia akan baik-baik sahaja,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu berkata demikian ketika menjadi artis undangan di konsert separuh akhir Kilauan Emas 2025, baru-baru ini.

Ditanya mengenai keadaan terkini Dahlia selepas menerima reaksi bercampur baur daripada netizen, Nora ada pendapatnya sendiri.

“Setakat ini, kami sekeluarga sudah faham tentang dunia media sosial. Jadi, kami tidak kisah sangat tentang apa yang diperkatakan. Bagaimanapun, kami mengambil maklum segala teguran yang baik dan membina.

“Komen-komen negatif pula, kami letak tepi sahaja. InshaAllah kami akan perbaiki lagi ke arah yang lebih baik pada masa hadapan,” ujarnya lagi.

Fokus Isu Lebih Penting

Pada masa sama, Nora berharap agar semua pihak memberikan perhatian terhadap isu yang lebih besar, terutamanya mengenai nasib mangsa perang di Palestin.

“Bila kita berkecimpung di dalam industri muzik ini, kita buat apapun akan ada orang yang mengecam. Jadi, kita kena biasakan diri dengan hal tersebut.

“Pada saya, hal ini akan berlaku sekejap sahaja. Selepas seminggu atau sebulan, perkara lain pula akan terjadi.

“Saya rasa ketika ini, ada banyak lagi perkara lain yang lebih penting patut kita fikirkan seperti nasib rakan-rakan kita di Palestin dan Gaza.

“Lebih baik fokus pada hal seperti ini. Yang lain itu, kita biarkan sahaja ia berlalu,” akhirinya.

Terdahulu, Dahlia mencuri perhatian apabila buat pertama kalinya muncul tanpa mengenakan hijab di malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), baru-baru ini.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf