Penyanyi, Nikki Palikat mengakui hubungan cintanya dengan jejaka asal Perancis telah pun berakhir sekitar enam bulan lalu. Buat pertama kali dalam tempoh 15 tahun, Nikki kini menjalani kehidupan bersendirian tanpa kehadiran pasangan di sisi.

Nikki, atau nama sebenarnya Nicolette Louise Palikat, 40, menyatakan keputusan untuk tidak lagi terikat dalam sebarang hubungan merupakan langkah penting dalam fasa kehidupannya sekarang.

“Kami sudah tidak ada apa-apa hubungan. Saya sudah single tetapi tidak available. Dalam enam bulan juga kami sudah putus hubungan.

“Inilah kali pertama saya single dalam masa 15 tahun. Selama ini memang ada saja (pasangan) jadi saya rasa inilah masanya untuk saya enjoy dengan kehidupan single,” katanya.

Bahagia Dalam Kesendirian, Tapi Masih Terbuka

Nikki turut meluahkan, kehidupan solo memberinya satu bentuk kebebasan dan ketenangan yang selama ini mungkin tidak dapat dirasai ketika berada dalam hubungan.

“Saya sedar bila saya dengan diri sendiri, tiada langsung masalah. Saya tak cari masalah untuk puaskan hati sendiri.

Ads

“Kita miliki 100 peratus rasa aman dan bahagia itu sendiri. Macam mana saya tak gembira. Saya baharu sedar yang saya suka hidup sendiri (tanpa pasangan).

“Sebelum ini apa sahaja yang saya lakukan dengan pasangan rupa-rupanya saya juga boleh buat sendiri. Kenapa tidak?” ujarnya lagi.

Meskipun selesa dengan status sebagai wanita solo, Nikki tidak menutup pintu hatinya sepenuhnya terhadap cinta. Jika hadir calon yang tepat, dia tetap bersedia untuk membina rumah tangga.

Ads

“Saya masih terbuka untuk menerima pasangan dalam hidup. Kalau ada lelaki yang sesuai kenapa tidak.

“Saya ni orangnya romantis, kalau datang peluang untuk bercinta kembali, saya suka sahaja pada perkahwinan. Saya rasa saya boleh jadi seorang isteri yang baik, daripada apa yang saya lalui dalam hidup ini.

“Tetapi dalam satu hubungan itu perlu ada komitmen daripada dua-dua pasangan (suami dan isteri). Kalau tiada calon (suami) yang sesuai, saya okay sahaja hidup sendiri,” katanya.

Ads

Terdahulu, Nikki mendedahkan dia mula menjalinkan hubungan dengan jejaka Perancis itu selepas bertemu ketika menjalani rawatan kiropraktik.

Menariknya, lelaki berkenaan pada awalnya tidak tahu Nikki seorang penyanyi sehinggalah diberitahu oleh kenalan mereka.

Sebagai rekod, Nikki pernah mendirikan rumah tangga bersama komposer Audi Mok pada Jun 2009, namun bercerai pada Jun 2022.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Liam Mok yang kini berusia 15 tahun.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI