Categories: Hiburan

Nikita Mirzani Dijatuhi Hukuman Penjara Empat Tahun

Share

Mahkamah Negeri Jakarta Selatan telah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap pelakon dan personaliti sensasi Indonesia, Nikita Mirzani, selepas didapati bersalah atas kes pemerasan terhadap seorang usahawan kosmetik.

Menurut laporan, panel hakim mendapati Nikita terbukti melakukan pemerasan melalui penyebaran maklumat elektronik yang mengandungi unsur ancaman terhadap pengadu, Reza Gladys, yang juga pemilik produk penjagaan kulit.

Dalam keputusan yang diumumkan pada 28 Oktober 2025, mahkamah turut mengenakan denda sebanyak satu bilion rupiah (kira-kira RM254,000) terhadap tertuduh, dengan ketetapan bahawa kegagalan membayar denda tersebut akan diganti dengan hukuman penjara tambahan selama tiga bulan.

Hakim menjelaskan, Nikita disabitkan kesalahan di bawah Pasal 45 ayat (10) huruf a jo Pasal 27B ayat (2) Undang-Undang Informasi dan Transaksi Elektronik (UU ITE) berkaitan perbuatan pemerasan melalui media elektronik.

BACA JUGA: Nikita Mirzani Mengamuk Dalam Mahkamah, Enggan Pulang Ke Tahanan

Bagaimanapun, mahkamah melepaskan Nikita daripada tuduhan tambahan di bawah Undang-Undang Tindak Pidana Pencucian Uang (TPPU) selepas mendapati tiada bukti kukuh yang menyokong pertuduhan berkenaan.

Pendakwa raya sebelum ini menuntut hukuman penjara selama 11 tahun serta denda dua bilion rupiah, namun mahkamah mengambil kira beberapa faktor meringankan termasuk tanggungan keluarga dan kerjasama semasa proses perbicaraan sebelum menjatuhkan hukuman lebih rendah.

Peguam bela Nikita memaklumkan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan oleh undang-undang.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan 

Published by
MFA